Kedutaan Besar Malaysia
PETALING JAYA: Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sedang memantau rapat situasi susulan beberapa siri demonstrasi yang tercetus di kawasan Senayan, sejak 25 Ogos lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Kedutaan menerusi kenyataan memaklumkan, demonstrasi berkenaan menjejaskan aliran trafik apabila beberapa laluan di Jakarta Selatan dan Jakarta Pusat terpaksa ditutup oleh pihak berkuasa.
Katanya, rakyat Malaysia yang menetap di Jakarta atau berada di sana atas urusan pelancongan, perniagaan dan sebagainya dinasihatkan sentiasa mengikuti perkembangan terkini melalui pengumuman pihak berkuasa tempatan serta laporan media.
“Warganegara Malaysia juga dinasihatkan supaya mengelak daripada berada di lokasi demonstrasi dan tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang tempatan,” kata kenyataan itu.
Bagi mendapatkan bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta melalui talian +62 81380813036.
Keadaan di Indonesia tegang apabila berlaku demonstrasi besar-besaran pada 25 Ogos lalu di beberapa wilayah antaranya Jakarta, Makassar, Bandung, Solo, Semarang, Surabaya dan Yogyakarta.
Di Jakarta, rusuhan memuncak selepas penunggang teksi motosikal dalam talian, Affan Kurniawan, 21, maut dirempuh kenderaan taktikal Barracuda milik Briged Bergerak Polis Negara Indonesia (Brimob) di lokasi pertempuran antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan di kawasan Bendungan Hilir Jakarta.
Penunjuk perasaan yang pada mulanya membantah elaun perumahan anggota Dewan Rakyat (DPR) dan perangai angkuh segelintir wakil rakyat, kini turut membantah kezaliman polis dalam menangani penunjuk perasaan.


































