Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung tarif timbal balik 19 peratus yang dikenakan terhadap negara akan diteruskan bagi memastikan hubungan perdagangan terutamanya dalam industri semikonduktor diperkukuhkan.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hal ini disebabkan landskap ekonomi dunia sudah tidak menentu terutama disebabkan tarif timbal balik yang diperkenalkan Presiden AS, Donald Trump.
Katanya, walaupun kadar tarif yang dikenakan terhadap Malaysia berjaya diturunkan daripada 25 peratus kepada 19 peratus namun rundingannya masih berterusan tanpa ada titik noktah.
“Apa yang paling kita gusar adalah kita merupakan satu rakan dagang Amerika Syarikat dalam industri E&E (Elektrik dan Elektronik) dan semikonduktor. Kita eksport sekitar RM200 bilion ke sana.
“Setakat ini (tarif kepada dua produk itu) dikecualikan tetapi kita doa mudah-mudahan dapat dipertahankan kerana ia akan menyebabkan kesan yang parah kepada pekerja-pekerja, puluhan ribu orang dan juga syarikat-syarikat pembekal membabitkan bumiputera dan bukan bumiputera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan Negara hari ini.
Bagi mendepani landskap politik global yang tidak menentu, Perdana Menteri berkata, RMK-13 dengan tema ‘Melakar Semula Pembangunan’ akan menjadi tunjang pembangunan negara untuk tempoh lima akan datang.
Katanya, tumpuan diberikan untuk pengukuhan ekonomi melalui peralihan secara menyeluruh ke arah ekonomi berasaskan penciptaan nilai.
“Peralihan ini memerlukan perancangan dan tindakan yang bersepadu untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara seumpama menaikkan siling di samping menaikkan lantai.
“Jadi sebab itu kita menekankan ikhtiar strategik dengan fokus pemerataan agihan ekonomi melalui usaha meningkatkan lagi darjat hidup rakyat, memacu kesaksamaan antara kaum serta mengurangkan kesenjangan antara bandar, wilayah dan desa,” katanya.
Menjelaskan perkara itu, Perdana Menteri berkata, menaikkan siling adalah dengan menguruskan ekonomi dengan cekap, menarik pelaburan luar dan domestik supaya ekonomi negara lebih segar.
“Maksud menaikkan lantai ialah pertumbuhan ekonomi, KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar), pelaburan yang rancak dan menyakinkan, belum menjamin keselesaan rakyat sehingga kita berupaya menaikkan upah keselesaan hidup, kesihatan, kemudahan asas, pendidikan dapat ditangani dengan baik,” katanya.


































