PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan beberapa individu termasuk penguat kuasa dalam radar agensi terbabit dipercayai terlibat sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan cerut sehingga kerugian hasil cukai lebih RM250 juta.
Menurut Utusan Malaysia, tindakan sindiket tersebut menyebabkan kerajaan mengalami kerugian hasil cukai sejak tahun 2020 hingga tahun 2024.
Menurut sumber, pihaknya setakat ini merakam keterangan 14 individu bagi membantu siasatan.
Sumber berkata, modus operandi sindiket dipercayai membuat pengisytiharan palsu dengan meletakkan kod kastam yang tidak tepat atau menukar butiran barang.
“Rokok dan cerut yang dibawa masuk disimpan di gudang persendirian sebelum diagihkan ke pasaran.
“Setakat ini seramai 14 orang individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan
“Ada beberapa individu termasuk penguat kuasa dalam radar SPRM dipercayai terbabit dalam sindiket ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurutnya, tiada sebarang tangkapan baharu manakala sebanyak RM218 juta akaun syarikat dan individu dibekukan dalam kes tersebut.
Media sebelum ini melaporkan SPRM menggempur beberapa syarikat disyaki terbabit penyeludupan tembakau, rokok dan cerut yang dikesan mengakibatkan negara kerugian cukai sebanyak RM250 juta sejak lima tahun lalu.
Serbuan melalui Op Sikaro diketuai Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM itu dijalankan dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), semalam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki turut mengesahkan Op Sikaro dibuat hasil daripada maklumat strategik diperoleh daripada Op Sohor yang menahan 10 individu termasuk lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang disyaki terbabit sindiket penyeludupan di selatan tanah air.


































