Masiung menyampaikan replika kunci kepada penerima bantuan rumah SMJ sambil diperhatikan oleh Yuseri (kanan) dan Tokyo (kiri).
TONGOD: Tongod bakal mencatat sejarah sebagai daerah pertama di Sabah menyediakan kawasan khas untuk perkampungan baharu bagi menempatkan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) secara terancang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, pelan itu merupakan hala tuju baharu program SMJ yang dicadangkan untuk kawasan DUN Kuamut mulai tahun depan.
“Saya telah mengarahkan Pegawai Daerah dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) mengenal pasti kawasan strategik untuk diwartakan sebagai perkampungan baharu SMJ.
“Kita yakin sebaik sahaja Kerajaan Negeri dapat membentuk semula kerajaan baharu, maka perkampungan SMJ ini akan diwujudkan sebagai modul pertama di Sabah,” katanya selepas menyampaikan kunci dua unit rumah SMJ yang siap dibina di Kampung Purutowai, di sini, kelmarin.
Menurut Masiung, sekiranya penempatan baharu itu menjadi kenyataan, penyediaan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik dapat dilaksanakan secara lebih mudah dan terancang.
Selain itu katanya, dengan pertambahan jumlah rumah SMJ setiap tahun, Kerajaan dapat menempatkan pelbagai kemudahan awam seperti dewan, tabika dan klinik di kawasan berkenaan.
Pada masa ini, Kerajaan Negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor memperuntukkan 40 buah rumah bagi setiap DUN dengan kos keseluruhan RM3.2 juta.
Rumah SMJ yang diperkenalkan Kerajaan Negeri diberikan secara percuma kepada rakyat Sabah yang layak.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pegawai Daerah Tongod, Mohd. Yuseri Ismail Yusof dan PPM, Tokyo Hasim Omar.


































