Beberapa wanita yang berkunjung ke Keke’s Imaginative Space di Hangzhou, di wilayah Zhejiang, timur China
GELAK ketawa kedengaran di sebuah rumah kampung di wilayah timur China, Zhejiang, ketika sekumpulan wanita bermain permainan papan sambil menikmati kopi, di salah satu ruang tinggal khas wanita yang jauh daripada tekanan sosial dan pandangan lelaki.
Menurut Utusan Malaysia, mereka berkongsi sokongan antara satu sama lain dan ‘banyak berbual mengenai perkara peribadi’, selain ada yang datang untuk mencari teman atau perlindungan daripada gangguan.
“Sebuah persekitaran yang semuanya wanita membuat saya rasa selamat. Kami sesama wanita lebih mudah bercakap tentang perkara tertentu,” kata Zhang Wenjing, 43.
Chen Fangyan, 28, pula berkata, dia berasa kurang segan tanpa kehadiran lelaki, bahkan seolah-olah mendapat satu kebebasan apabila tidak dipaksa memakai baju dalam.
Permintaan terhadap ruang khas jantina, termasuk bar, gim, asrama dan hab kerja bersama, semakin meningkat di China apabila wanita memanfaatkan kuasa ekonomi mereka untuk mendapatkan ketenangan fikiran serta keselamatan fizikal.
Di Keke’s Imaginative Space, peserta membayar 30 yuan (RM19.50) semalam, meningkat kepada 80 yuan (RM52) mulai hari keempat.
Pengasasnya, Chen Yani, yang digelar Keke, memberitahu AFP dia terdorong membuka ruang itu selepas mengalami pengalaman buruk dengan lelaki di tempat kerja.
“Saya menghadapi pelbagai bentuk gangguan daripada lelaki sehingga sering tidak dapat bekerja dengan normal.
“Saya mula memikirkan bagaimana rupa persekitaran kerja yang selamat dan santai, satu tempat di mana saya tidak akan berasa bimbang,” kata wanita berusia 30 tahun itu.
BOLEH JADI DIRI SENDIRI
Chen memulakan projek itu dengan mengubah suai sebuah rumah di Lin’an, pinggir bandar Hangzhou, kira-kira 200 kilometer dari Shanghai.
Dia percaya wanita lain mungkin berkongsi keinginan sama untuk berada di tempat selesa lalu menganjurkan penginapan semasa Tahun Baru Cina melalui platform media sosial Xiaohongshu, juga dikenali sebagai Rednote.
Dua belas wanita hadir pada permulaan.
Ada yang mahukan persekitaran baharu untuk bercuti, manakala sebahagiannya ingin mengelak soalan atau tekanan daripada keluarga, termasuk mengenai perkahwinan dan anak.
“Dalam keluarga, wanita sering perlu menjaga datuk nenek, anak-anak dan urusan rumah. Belum lagi tanggungjawab kerja. Mereka perlukan tempat di mana mereka tidak perlu berpura-pura dan boleh jadi diri sendiri,” kata Chen.
Menerusi media sosial, terutamanya Rednote, wanita turut didedahkan kepada gaya hidup alternatif dan pelbagai pilihan untuk mencari komuniti.
Di Xiuxi, sebuah kampung di Zhejiang, Yang Yun membuka Her Space pada Jun, untuk menawarkan wanita ‘tempat perlindungan rohani’, dengan suasana menyerupai hotel butik.
“Jika seorang wanita kehilangan pekerjaan, bergaduh dengan suami atau penat dengan kehidupan bandar, dia tahu dia boleh datang ke sini dan mendapat kehangatan,” kata Yang.
Setakat ini, 120 wanita telah menyertai kelab tersebut dengan membayar yuran keahlian 3,980 yuan (RM2,340).
“Yang penting ialah tempat ini wujud dan memberi mereka kekuatan mental,” katanya.
MASIH KEKURANGAN RUANG
Sesetengah pengkritik berpendapat komuniti khas satu jantina boleh menimbulkan ketegangan antara lelaki dan wanita.
Bagaimanapun, Chen menafikan dakwaan itu dan menegaskan wanita berhak mempunyai ruang sendiri.
“Wanita adalah kumpulan sosial dengan pengalaman dan masalah yang serupa. Selalunya lebih mudah bagi mereka untuk memahami antara satu sama lain dan menunjukkan empati,” katanya.
Walaupun belum menjana keuntungan, Chen berkata, selagi ada permintaan, tempat tersebut akan terus wujud.
Pengasas ruang budaya khas wanita, Half the Sky di Beijing, Lilith Jiang berkata, kemudahan sebegini mengisi kekosongan yang timbul.
“Lelaki mempunyai banyak peluang untuk bersosial, sama ada semasa minum atau bersenam. Wanita pula tidak mempunyai ruang sebegitu,” katanya.
Lilith berkata, gaya hidup moden ini boleh menjadi alternatif bagi wanita bujang yang bimbang mengenai penuaan bersendirian.
“Wanita sering diberitahu, kalau tidak berkahwin, apa akan jadi pada kamu bila tua?’.
“
Tetapi dalam jangka panjang, ruang tinggal khas wanita di mana mereka boleh menua bersama akan menjadi penyelesaian,” kata Jiang.


































