LYON: Sebuah pesawat penerbangan tambang murah, Easyjet, yang dalam perjalanan dari Perancis ke Portugal terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Lyon selepas seorang penumpang cuba menceroboh masuk ke kokpit.
Menurut Utusan Malaysia, polis dan syarikat penerbangan itu memaklumkan, insiden berlaku tidak lama selepas pesawat EJU4429 berlepas dari Lyon menuju ke Porto, pada Jumaat lalu.
Penumpang lain berjaya menenangkan lelaki terbabit sebelum dia diikat sehingga pesawat selamat mendarat semula.
“Penerbangan EJU4429 dari Lyon ke Porto berpatah balik ke Lyon sejurus selepas berlepas disebabkan kelakuan seorang penumpang.
“Penerbangan itu disambut polis sebaik tiba dan selepas penumpang terbabit dibawa keluar, penerbangan diteruskan ke Porto,” kata Easyjet dalam satu kenyataan.
Polis memaklumkan, lelaki warganegara Portugal berusia 26 tahun itu, mengalami mabuk udara dan kecelaruan.
Dia kemudiannya dimasukkan ke hospital di Perancis.

































