Abidin memulakan program Walk For Jesus-Hope 2025 di Padang Merdeka hari ini.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri berpegang teguh kepada prinsip keadilan dan kesaksamaan dengan memberikan sokongan berterusan tanpa mengira kaum dan agama.
“Komitmen berterusan kita untuk memperkukuh sokongan pendidikan serta organisasi bukan berasaskan agama tetap teguh, demi memupuk perpaduan, keharmonian dan toleransi beragama,” katanya pada program Walk for Jesus-Hope 2025 yang dianjurkan oleh Majlis Gereja-Gereja Sabah, kumpulan antara gereja tempatan serta Persatuan Persekutuan Penjara Sabah (PFSA) di Padang Merdeka di sini hari ini. Ucapannya disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.
Ketua Menteri turut mengucapkan tahniah kepada penganjur kerana berjaya menganjurkan acara dwitahunan itu, yang disifatkannya sebagai bukti semangat kohesi dalam kalangan masyarakat Kristian di Kota Kinabalu dan seluruh negeri.
“Pelaksanaan serentak Walk for Jesus di 26 bandar di Sabah benar-benar menggambarkan perpaduan dalam doa dan matlamat,” katanya.
Hajiji berkata, perjalanan rohani yang bermakna ini menjadi bukti keteguhan iman penganut Kristian, sekali gus mengesahkan kehadiran Tuhan yang sentiasa bersama dan pengaruh-Nya dalam kehidupan mereka.
“Berjalan dalam keharmonian Ilahi adalah pengalaman yang mengangkat jiwa, baik secara fizikal mahupun rohani, mencerminkan kekuatan sokongan bersama serta melangkaui keterbatasan fizikal kita.
“Saya berharap acara ini membawa keberkatan kepada rakyat Sabah, tatkala anda semua melalui bandar-bandar dengan doa serta mengumpul sokongan untuk golongan kurang bernasib baik.
“Niat murni anda benar-benar melambangkan kasih sayang menyeluruh gereja yang merentasi kaum, agama dan kepercayaan. Inisiatif seperti ini pasti akan menyemai keyakinan, perpaduan dan semangat muhibah dalam komuniti kita,” katanya.


































