Jika keruntuhan berlaku, paras laut dunia dijangka meningkat sehingga tiga meter, mengakibatkan ratusan bandar dan penempatan pesisir pantai di seluruh dunia tenggelam.
LONDON: Lapisan ais Antartika Barat, satu daripada bongkah ais terbesar dunia yang meliputi kawasan seluas 760,000 batu persegi, kini di ambang keruntuhan.
Menurut Utusan Malaysia, kajian yang dilakukan penyelidik Universiti Nasional Australia (ANU) itu mendapati peningkatan paras karbon dioksida global melemahkan struktur ais berkenaan, sekali gus meningkatkan risiko ia runtuh sepenuhnya.
Sekiranya keruntuhan berlaku, paras laut dunia dijangka meningkat sehingga tiga meter, mengakibatkan ratusan bandar dan penempatan pesisir pantai di seluruh dunia ditenggelami air.
“Perubahan pantas sudah pun dikesan di Antartika melibatkan ais, lautan dan ekosistem, dan keadaan ini dijangka bertambah buruk setiap kali suhu global meningkat,” kata Dr. Nerilie Abram, ketua penyelidik kajian tersebut.
Beliau turut memberi amaran kehilangan ais laut di kawasan berkenaan akan menyebabkan rak ais terapung lebih mudah runtuh, sekali gus mempercepatkan proses kemusnahan lapisan ais utama Antartika.
Hasil simulasi menggunakan alat pemeriksaan risiko pantai oleh Climate Central mendapati kenaikan paras laut setinggi tiga meter bakal menenggelamkan ratusan kawasan pesisir pantai di seluruh dunia.
Di Eropah, garis pantai dari Calais hingga selatan Denmark dijangka tenggelam, manakala Venice akan terus berdepan ancaman banjir kekal.
Di Amerika Syarikat (AS), bandar utama termasuk New Orleans di Louisiana, Galveston di Texas serta kawasan paya Everglades di Florida dijangka musnah akibat kenaikan paras laut.
Kajian itu turut menggesa kerajaan dunia untuk mempercepatkan usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau demi mengelak bencana yang lebih parah.
“Satu-satunya cara mengelak perubahan drastik ini adalah mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dengan pantas, agar pemanasan global dapat dihadkan sedekat mungkin kepada 1.5 darjah Celsius,” tegas Dr. Abram.
Katanya, kerajaan, sektor perniagaan dan komuniti dunia perlu memasukkan faktor risiko perubahan mendadak di Antartika ke dalam perancangan masa depan dalam menghadapi kesan perubahan iklim yang semakin ketara.
































