Joniston (empat dari kanan) dan Demis (empat dari kiri) bersama perwakilan serta pemerhati AGM PBS Kadamaian.
KOTA BELUD: Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai berkata, kestabilan politik Sabah ketika ini mencerminkan kekuatan gabungan tersebut sebagai kerajaan yang diterajui parti tempatan.
Katanya, keadaan ini sangat berbeza dengan Parti Warisan dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) yang sanggup bekerjasama dengan Umno dalam cubaan menggulingkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada Januari 2023.
“Mereka berkempen dengan slogan ‘Sabah untuk Orang Sabah, Tolak Parti Berpangkalan di Semenanjung’ dan malah (Presiden Warisan) Shafie Apdal sendiri menyeru kepada perpaduan untuk menumbangkan BN di Sabah. Tetapi apabila peluang tiba, Parti Warisan terus berlari kepada Umno.”
“Jika cubaan ‘merampas kuasa’ itu berjaya, Sabah mungkin sudah menyaksikan sebuah kerajaan yang diterajui Umno, malah mungkin ditentukan oleh Kuala Lumpur, dan bukannya parti atau gabungan berasaskan Sabah,” kata Joniston yang juga Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS).
Merasmikan mesyuarat agung tahunan PBS bahagian Kadamaian hari ini, Joniston berkata, langkah Warisan dan PKDM itu adalah hipokrasi politik yang tidak harus dilupakan rakyat Sabah.
“Anda tidak boleh berkata sesuatu tetapi melakukan sebaliknya apabila ia menguntungkan. Mereka menjual satu naratif kepada rakyat, tetapi apabila kuasa menjadi taruhan, mereka sanggup mengabaikannya,” katanya.
Satu lagi bukti jelas hipokrasi Parti Warisan dan PKDM ialah sokongan mereka terhadap keputusan Umno, melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Persekutuan, untuk “membuldozer” penubuhan Jawatankuasa Desa Madani (JKDM) di kampung-kampung di Sabah.
Sedangkan Kerajaan Negeri pimpinan GRS tegas menolak JKDM dengan menyifatkannya sebagai taktik “pecah dan perintah” kerana setiap kampung sudah pun mempunyai Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), Parti Warisan dan PKDM tetap menyokongnya, malah ramai pemimpin akar umbi mereka dilantik sebagai pengerusi.
Sebaliknya, Joniston berkata, GRS telah membuktikan dirinya sebagai kuasa dominan dalam politik Sabah dengan menyatukan parti-parti tempatan demi menjamin kestabilan dan perpaduan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu itu turut menyatakan bahawa Pakatan Harapan (PH) mengiktiraf kedudukan GRS dan memilih untuk bekerjasama dengan gabungan tempatan pimpinan Hajiji demi kepentingan kestabilan politik negeri.
“Apabila parti berasaskan Semenanjung seperti PKR dan DAP memilih untuk menyokong Hajiji dan bekerjasama dengan GRS, ia mencerminkan kekuatan dan kestabilan yang dibawa GRS dalam menyatukan suara tempatan untuk berkhidmat,” katanya.
Beliau menggambarkan pendekatan GRS sebagai usaha mencari keseimbangan antara kerjasama strategik dengan Persekutuan dan mengekalkan kepimpinan tempatan, sekali gus membolehkan Sabah mendapatkan sokongan pembangunan sambil memastikan keputusan kekal di tangan negeri.
Joniston menyeru ahli PBS dan penyokong GRS agar terus bersatu dan fokus menjelang pilihan raya negeri akan datang yang dijangka penganalisis mungkin diadakan bulan depan.
Beliau menegaskan bahawa GRS akan terus mengutamakan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sambil bekerjasama rapat dengan rakan persekutuan untuk membawa pelaburan, infrastruktur dan peluang ke negeri ini.
“Perpaduan telah menguatkan kita, dan rakyat mahukan kestabilan. Itulah yang terus GRS dan PBS bawa.
“Fokus kita ialah kemajuan untuk rakyat Sabah dan itu bermakna melindungi autonomi kita sambil mendapatkan sokongan yang diperlukan untuk mara ke hadapan,” katanya.
Dalam AGM itu, Joniston turut memuji PBS Kadamaian yang diketuai Demis Rumanti atas ketabahannya memastikan parti terus relevan di kawasan berkenaan.
“Kadamaian akan sentiasa dalam radar PBS sebagai kerusi berpotensi untuk dimenangi,” katanya disambut sorakan gemuruh lebih 300 perwakilan dan pemerhati.


































