Peter (Kiri) bergambar kenangan bersama juruhebah Kupi-Kupi FM.
KOTA KINABALU: Jualan Rahmah sempena Karnival Kita Madani 2025 di Padang Istiadat Tuaran dijangka menarik perhatian pengunjung dengan tawaran harga lebih rendah berbanding pasaran pada 23 Ogos ini.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi Korporat dan Pembangunan Masyarakat Jabatan Penerangan Sabah, Peter Tong Ah Pin berkata jualan itu membolehkan rakyat mendapatkan barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak, gula serta produk segar pada harga berpatutan.
”Inisiatif itu merupakan usaha kerajaan membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat dalam keadaan ekonomi semasa,” katanya ketika ditemu bual di Kupi-Kupi FM, pada Selasa.
Menurut Peter, selain jualan Rahmah, karnival berkenaan turut menampilkan pelbagai acara menarik termasuk pertandingan Bintang Patriotik @ Madani, Digital Race Merdeka, Sukan Aktif @ Madani, Jualan Fama @ Agro Madani serta Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku.
“Penganjuran karnival ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga peluang menyampaikan maklumat dasar kerajaan dan menyediakan pelbagai perkhidmatan terus kepada rakyat tanpa prosedur rumit,” ujarnya.
Karnival itu akan dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Seri Panglima Jahid Jahim.


































