Wilfred Madius Tangau
KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) menegaskan pihaknya kekal komited memastikan kelancaran pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah, khususnya jajaran Tobobon–Telipok–Bulatan Berungis, yang dijangka siap sepenuhnya pada 2026.
KKR memaklumkan, jajaran sepanjang 11.7 kilometer itu adalah sebahagian daripada Projek LPB Sabah Fasa 1A, iaitu Pakej WP08: Sepanggar ke Bulatan Berungis, yang melibatkan kerja menaik taraf jalan sedia ada dua lorong dua hala kepada jalan berkembar tiga lorong dua hala dengan spesifikasi R5.
“Setakat 25 Jun 2025, kemajuan fizikal Pakej WP08 mencapai 83.84 peratus, ketinggalan berbanding sasaran 89.88 peratus.
“Kelewatan ini berpunca daripada pelaksanaan Projek Pemasangan Paip Telibong 2 di sepanjang jajaran, yang turut menjadi projek utama kerajaan untuk menyelesaikan masalah bekalan air di kawasan Kota Kinabalu Utara,” menurut jawapan bertulis kementerian itu di Dewan Rakyat, hari ini.
KKR berkata, daripada keseluruhan panjang 11.7 kilometer, empat kilometer dijangka siap sepenuhnya sebagai jalan berkembar tiga lorong dua hala dan dibuka kepada orang awam menjelang hujung tahun ini.
“Baki jajaran pula akan disiapkan pada tahun 2026.
“Kerajaan kekal komited memastikan projek ini berjalan lancar memandangkan ia merupakan laluan strategik yang menghubungkan Tuaran dan Kota Kinabalu.
“Bagi memastikan projek mengikut perancangan, KKR bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah akan meneruskan pemantauan ketat, dengan sebarang isu kritikal dibawa terus ke Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Projek LPB Sabah untuk tindakan segera,” jelas kementerian itu.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau membangkitkan persoalan berhubung status projek berkenaan yang didakwa tidak menepati janji siap pada 2025.
“Pada persidangan Dewan Rakyat tahun lalu, saya dimaklumkan bahawa projek ini akan siap tahun ini. Namun sehingga pertengahan 2025, pembinaannya masih belum menunjukkan kemajuan memberangsangkan berbanding tahun lalu,” katanya pada sesi soalan lisan.
































