Shahrul Nizam Zuraimy dibawa anggota polis selepas dia dijatuhkan hukuman penjara dan sebatan oleh Mahkamah Tinggi Melaka atas kesalahan membunuh isteri dan anak tirinya enam tahun lalu.
MELAKA: Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara 72 tahun dan 24 sebatan terhadap seorang lelaki warga Singapura yang didapati bersalah membunuh isteri dan anak tirinya dengan cara mengerat anggota badan mangsa, enam tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Hakim, Datuk Anselm Charles Fernandis menjatuhkan hukuman itu terhadap Shahrul Nizam Zuraimy, 36, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Anselm dalam penghakimannya berkata, tindakan mengerat dan membuang bahagian tubuh kedua-dua mangsa di kawasan berbeza menunjukkan tertuduh tidak mahu identiti mangsa dikenal pasti.
“Kepala kedua-dua mangsa diletakkan di atas siling rumah untuk mengelakkan bau dan dikesan. Mahkamah juga telah mengambil kira tindakan tertuduh yang membuang sebahagian tubuh kedua-kedua mangsa di kawasan semak.
“Tiada alasan munasabah diberikan dan tindakan itu seperti cuba menyembunyikan identiti kedua-dua mangsa. Oleh itu, mahkamah mendapati tertuduh bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut,” katanya.
Berdasarkan dua kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian Norfazera Bidin, 27, dan Muhammad Iman Ashraf Abdullah, 11, di sebuah rumah di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam dalam daerah Melaka Tengah antara pukul 6 petang pada 6 Oktober dan pukul 7.30 pagi pada 7 Oktober 2019.
Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati hendaklah dihukum minimum 12 sebatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 36 tahun dan 12 sebatan bagi setiap pertuduhan dan berjalan secara berasingan bermula dari tarikh ditangkap 11 Oktober 2019.
Terdahulu, ibu mangsa, Fatimah Latiff, 66, dan kakak, Munira Bidin, 35, tampil memberikan pernyataan berimpak sebelum hukuman dijatuhkan.
Mereka berdua mahu hukuman gantung sampai mati dikenakan dengan mengambil kira trauma jangka panjang selain cara pembunuhan yang dilakukan tertuduh sangat kejam.
“Dia (tertuduh) kerat anak makcik macam seekor ayam. Mak cik tidak akan maafkan dia sampai akhirat”.
Demikian luah Fatimah 60, sebaik Mahkamah Tinggi di sini, menjatuhkan terhadap bekas menantunya itu.
Katanya, sehingga hari ini bahagian tangan anak dan cucunya itu masih belum ditemui dan terpaksa dikebumikan dalam keadaan tidak cukup sifat.
“Naluri seorang ibu sedih melihat keadaan anak begitu. Sampai ke hari ini tangan anak dan cucu mak cik masih belum jumpa.
“Ini (tertuduh) bukan manusia, binatang pun sayangkan anak. Walaupun hakim telah menjatuhkan hukuman tetapi mak cik tidak akan maafkan orang seperti itu sampai akhirat sebab banyak nyawa hilang macam itu saja,” katanya ditemui pemberita selepas prosiding berkenaan.
Tertuduh diwakili peguam Andrew Lourdes dan Chua Yong Yi manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asri Abd. Rahman Sidik dan Nur Syazwanie Marizan.


































