WASHINGTON: Tiga negeri Amerika Syarikat (AS) mengumumkan penghantaran ratusan anggota Pengawal Kebangsaan ke Washington berikutan arahan Presiden Donald Trump untuk memperketatkan kawalan keselamatan dan melaksanakan tindakan keras terhadap jenayah serta gelandangan.
Menurut Utusan Malaysia, Negeri Virginia Barat menghantar antara 300 hingga 400 anggota, Carolina Selatan seramai 200 anggota manakala Ohio pula menghantar 150 anggota dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Langkah tersebut diumumkan selepas Trump menandatangani perintah eksekutif bagi mengambil alih kuasa polis tempatan Washington, sekali gus menggerakkan kira-kira 800 anggota Pengawal Kebangsaan ke bandar raya berkenaan.
Pejabat Gabenor Virginia Barat, Patrick Morrisey dalam kenyataan berkata, penyertaan negeri itu adalah sebagai tanda komitmen terhadap keselamatan awam serta kerjasama serantau.
“Negeri ini akan menyediakan peralatan dan kira-kira 300 hingga 400 anggota berkemahiran seperti yang diarahkan,” katanya.
Pegawai Rumah Putih memberitahu Reuters penempatan anggota tambahan diperlukan untuk melindungi aset persekutuan, menyediakan persekitaran selamat untuk penguat kuasa serta menunjukkan kehadiran bagi mencegah jenayah.
Sebanyak 800 anggota Pengawal Kebangsaan ditempatkan di kawasan awam, namun hanya menjalankan tugasan logistik, pentadbiran dan kerja-kerja pembersihan kawasan.
Mereka tidak membawa senjata, namun ia disimpan di kem dan boleh dikeluarkan jika keadaan memerlukan.


































