Gambar daripada di laman X Anwar Ibrahim.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik pertemuan antara Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yang disifatkan berlangsung dalam suasana harmoni serta penuh semangat kebersamaan.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, pertemuan itu bukan sahaja mencerminkan kematangan politik, malah menunjukkan iltizam bersama untuk memperkukuh kerjasama demi kestabilan negara, khususnya dalam konteks hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri Sabah.
“Mengadakan pertemuan penuh makna antara Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor yang berlangsung dalam suasana harmoni dan penuh semangat kebersamaan. Pertemuan ini mencerminkan kematangan politik serta iltizam untuk memperkukuh kerjasama demi kestabilan negara, khususnya dalam konteks hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri Sabah,” katanya menerusi hantaran di laman X malam ini.
Menurut Anwar, kestabilan politik adalah asas penting dalam menjayakan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
“Saya percaya bahawa kestabilan politik adalah asas penting dalam menjayakan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Beliau menegaskan, kerjasama erat antara pemimpin negeri dan Persekutuan amat penting bagi memastikan aspirasi rakyat dapat direalisasikan secara menyeluruh dan inklusif.
“Justeru, kerjasama erat antara pemimpin negeri dan persekutuan amat penting dalam memastikan aspirasi rakyat dapat direalisasikan secara menyeluruh dan inklusif,” katanya.
Anwar turut berharap semangat muafakat itu akan terus menjadi asas kepada perpaduan nasional yang lebih kukuh, demi masa depan Malaysia yang progresif, adil dan sejahtera untuk semua.
































