VIENNA: Sebuah muzium di Vienna menggunakan seni sebagai kaedah inovatif mengurangkan kesan gelombang haba, dengan mengecat permukaan asfalt hitam kepada pelbagai warna terang.
Menurut Utusan Malaysia, langkah itu dilaporkan berjaya menurunkan suhu tanah daripada 31 darjah Celsius kepada 20 darjah Celsius.
Projek tersebut digerakkan oleh muzium yang mempamerkan koleksi peribadi mendiang hartawan Austria, Heidi Horten, dan dilaksanakan oleh artis Austria, Jonas Griessler.
Ia menggabungkan kreativiti, sains dan perancangan bandar bagi meningkatkan keselesaan pelawat serta kesedaran mengenai perubahan iklim.
Menurut Griessler, tona warna cerah mencerminkan sikap ringan dan tidak konsisten masyarakat dalam menangani isu perubahan iklim.
Saintis menjelaskan, gelombang haba yang semakin kerap dan melampau di Eropah merupakan kesan langsung perubahan iklim, mendorong bandar di rantau itu beralih kepada penggunaan kawasan hijah dan serta cat berwarna cerah yang memantulkan sinaran matahari.
Setiap permukaan berwarna dalam projek seni di Vienna mewakili satu tahun, dengan titik kecil di atasnya mewakili satu bilion tan pelepasan karbon dioksida.
Bilangan titik pada setiap permukaan adalah setara dengan jumlah pelepasan global pada tahun tersebut, membolehkan orang ramai membayangkan peningkatan pelepasan akibat aktiviti manusia antara 1960 hingga 2000.
Pakar kesihatan alam sekitar Universiti Perubatan Vienna, Hans-Peter Hutter berkata, projek itu bukan sahaja bertujuan memberi kesedaran mengenai perubahan iklim, bahkan membantu mengurangkan kesan gelombang haba bandar.
Suhu asfalt yang lebih rendah dapat mengurangkan keperluan penyejukan bangunan sekitar, sekali gus menurunkan penggunaan penyaman udara.
































