Suman (barisan tengah, tiga dari kiri), Stanis (barisan tengah, empat dari kiri) bergambar bersama dengan Komuniti KDCA sesi 2025-2028 dan semua yang hadir dalam majlis itu.
TENOM: Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) menyeru masyarakat etnik Murut, Lundayeh serta etnik lain yang tersenarai di dalam perlembagaan KDCA agar terus bersatu dan kekal bernaung di bawah persatuan itu, walaupun nama etnik berkenaan tidak disebut secara khusus dalam nama KDCA.
Setiausaha Agung KDCA, Datuk Suman Yasambun berkata, cabaran utama yang dihadapi persatuan itu ialah memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai maksud sebenar KDCA sejak penubuhannya.
“Perkara ini telah difahami sejak awal melalui konvensyen yang pernah diadakan, maka tidak perlu lagi diperdebatkan. Sebaliknya, kita perlu bergerak ke hadapan.

Suman (duduk, lima dari kanan) bersama Stanis (duduk, tiga dari kiri) merakamkan gambar bersama Komuniti KDCA Daerah Tenom tahun 2025-2028.
“Kefahaman tentang etnik, budaya dan bahasa perlu bermula dari rumah untuk memberi kesedaran kepada generasi muda agar masyarakat kita bergerak ke arah yang betul,” katanya.
Beliau menegaskan KDCA telah menjangkau usia 60 tahun sejak ditubuhkan dengan objektif utama untuk menyatukan masyarakat tempatan di Sabah.
“Walaupun kita dikenali dengan etnik berbeza, hakikatnya kita adalah satu rumpun. KDCA diwujudkan sebagai wadah penyatuan selepas Sabah menyertai Malaysia. Jika tidak, mungkin kita akan tercerai-berai.
“Penting bagi kita memelihara hak serta kebudayaan di bawah satu payung yang telah dipersetujui melalui perlembagaan KDCA,” jelasnya.

Suman (kanan) menerima cendera hati daripada Stanis dalam majlis itu.
Suman berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan 15 Watikah Pelantikan Komuniti KDCA Daerah Tenom di Perkasa Hotel, kelmarin.
Katanya, KDCA tidak membabitkan diri dalam politik, sebaliknya memberi tumpuan kepada pembangunan masyarakat agar tidak ketinggalan dalam arus kemajuan, khususnya dalam aspek pendidikan.
“Lebih baik menubuhkan banyak cawangan KDCA di pedalaman berbanding menubuhkan persatuan baharu mengikut etnik. KDCA adalah platform yang baik untuk ‘networking’, termasuk dalam kalangan ahli perniagaan dan golongan korporat yang berpengalaman luas.
“Selain itu, KDCA juga mempunyai Women Council dengan keanggotaan dari setiap daerah, yang menjadi ruang baik untuk tujuan pemasaran dan kerjasama,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan KDCA memberi perhatian kepada pemuliharaan bahasa etnik dengan memastikan ia terus diajar di sekolah agar generasi muda mengenali warisan budaya sejak kecil.
Katanya lagi, masyarakat Murut dan Lundayeh tidak akan kehilangan identiti budaya jika kekal bersama KDCA, sebaliknya lebih terpelihara di bawah payung persatuan itu.
Sementara itu, Pengerusi Penyelaras KDCA Daerah Tenom, Stanis Buandi merakamkan penghargaan kepada Suman kerana menyempurnakan majlis berkenaan yang turut disertai penyerahan borang permohonan daripada sembilan cawangan penaja.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi KDCA Daerah Tenom, Simon Mamat; Ahli Majlis Anak Negeri, Datuk Lucas Umbul dan Setiausaha Akhbar kepada Timbalan Ketua Menteri, Celestina Ubing serta wakil komuniti dalam daerah itu.

































