Sultan Ibrahim memeriksa Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-60 di Kem Iskandar, Mersing, Johor kelmarin.
PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan Kementerian Pertahanan agar membatalkan cadangan pembelian helikopter Black Hawk lama yang telah berusia lebih 30 tahun.
Menurut Utusan Malaysia, Seri Paduka sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertitah dengan mengingatkan supaya tidak mengulangi kesilapan dahulu.
“Jangan ulang kesilapan dahulu apabila kita beli pesawat SkyHawk secara second-hand. Adakah kita hendak letak juruterbang kita dalam ‘keranda terbang’? Awak fikirlah sendiri.
“Saya percaya ini semua berlaku kerana di Kementerian Pertahanan penuh dengan ‘agent’ atau bekas jeneral yang menjadi ‘salesman’, malah ada syarikat penjual kain pun masuk hendak jual drone.
“Kalau semua pembelian kena ikut harga orang tengah maka peruntukan yang ada tidak akan cukup. Oleh itu, jangan cuba nak temberang saya. Jika tidak mahu dengar cakap saya, selepas ini saya tidak akan menegur lagi,” titah Seri Paduka.
Sebelum ini, Kementerian Pertahanan merancang untuk membuka semula tender kontrak sewaan helikopter Black Hawk jenis UH-60 untuk digunakan Tentera Darat Malaysia (TDM) pada masa hadapan.
Perancangan itu dilakukan selepas syarikat dilantik sebelum ini iaitu Aerotree Defence and Services Sdn. Bhd. gagal membuat penghantaran mengikut tarikh ditetapkan.
Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Titah Diraja sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-60 di Kem Iskandar, Mersing, Johor hari ini.
Titah Sultan Ibrahim, kerajaan perlu memberi keutamaan kepada peningkatan tahap kesiapsiagaan Rejimen Gerak Khas dengan memastikan setiap perolehan aset tentera dibuat secara teliti, iaitu berlandaskan harga pasaran dan keperluan sebenar pengguna, bukannya mengikut cadangan ejen semata-mata.
Seri Paduka bertitah, pembelian aset yang tidak relevan atau terlalu mahal bukan sahaja merugikan, malah membazirkan peruntukan negara.
“Jangan buang masa beli barang yang merepek dan tidak sesuai dengan keperluan tentera. Kalau tidak tahu harga, tanya saya dahulu,” titah Seri Paduka.
Sultan Ibrahim turut mengimbas kembali teguran dibuat baginda lima tahun lalu berhubung pembelian bot Rigid Riding Craft (RRC) untuk komando pada harga RM5 juta, sedangkan bot yang lebih baik boleh diperoleh di bawah RM2 juta.
“Baru-baru ini pula, saya dapat tahu ada cadangan untuk beli lagi bot sama tetapi saiz yang besar sedikit dengan harga hampir RM10 juta. Ini tidak masuk akal dan harus diteliti secara betul.
“Selain daripada harga, kualiti barang yang dibeli juga perlu diutamakan. Apa telah jadi dengan kolam selam tempur di kem ini yang sepatutnya siap pada 2022, tetapi sehingga kini masih belum boleh digunakan,” titah Seri Paduka.
































