Seorang pelancong merakam gambar berhampiran tapak monumen Acropolis ketika gelombang haba melanda di Athens, Greece.
OSLO: Gelombang haba berpanjangan yang melanda negara-negara Nordik di utara Eropah pada Julai lalu disebabkan oleh krisis iklim menjadi bukti tiada negara selamat daripada perubahan iklim, kata saintis.
Menurut Utusan Malaysia, Norway, Sweden dan Finland yang selama ini beriklim sejuk, berdepan suhu luar biasa tinggi termasuk rekod 22 hari berturut-turut melebihi 30 darjah Celsius di Finland manakala Sweden pula mengalami 10 ‘malam tropika’ berturut-turut apabila suhu tidak jatuh di bawah 20 darjah Celsius.
Kajian saintis mendapati pemanasan global akibat pembakaran bahan api fosil menjadikan gelombang haba itu sekurang-kurangnya 10 kali lebih berkemungkinan berlaku serta dua darjah Celsius lebih panas malah, beberapa data cuaca dan model iklim menunjukkan kejadian itu mustahil berlaku tanpa campur tangan manusia terhadap sistem iklim.
Kesan gelombang haba itu amat luas menyaksikan hospital mengalami kepanasan melampau hingga terpaksa membatalkan pembedahan, sekurang-kurangnya 60 kematian akibat lemas ketika aktiviti berenang meningkat, dan pertumbuhan alga beracun di tasik serta laut.
Ratusan kebakaran hutan dilaporkan, manakala beberapa individu pengsan ketika menghadiri acara musim cuti dan dalam gelombang haba besar 2018, sebanyak 750 kematian awal dicatatkan di
Sweden, serta saintis menjangkakan angka tahun ini mungkin setara selepas data lengkap diperoleh.
Saintis memberi amaran, jika pemanasan global cecah 2.6 darjah Celsius, gelombang haba akan berlaku lima kali lebih kerap menjelang tahun 2100.




























