Azizah Mohd. Dun
KOTA KINABALU: Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Azizah Mohd. Dun menegaskan bahawa GRS akan terus mengutamakan kepentingan rakyat Sabah dalam setiap keputusan politik, termasuklah hubungan dengan Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan.
Beliau berkata, kerjasama antara GRS dan PH adalah satu langkah strategik demi memastikan kestabilan politik serta keberkesanan pelaksanaan dasar-dasar pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat negeri ini.
“GRS sentiasa meletakkan kepentingan rakyat Sabah di hadapan. Hubungan dengan Kerajaan Perpaduan adalah untuk memastikan suara rakyat Sabah didengar dan hak-hak negeri terpelihara dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Wanuta Gabungan Rakyat Sabah di sini semalam.
Azizah turut menekankan bahawa perjuangan GRS tidak berganjak daripada agenda utama, untuk menambah baik infrastruktur asas, memperkasakan peluang ekonomi, serta meningkatkan taraf hidup rakyat di seluruh pelusuk negeri.
Menurut beliau, kerjasama dengan PH tidak seharusnya dilihat sebagai kompromi terhadap prinsip perjuangan GRS, sebaliknya sebagai platform memperkukuh posisi Sabah dalam pentadbiran negara.
Beliau juga menyeru semua jentera wanita parti GRS untuk terus bersatu, berperanan aktif dalam menyampaikan aspirasi rakyat di akar umbi, serta menyokong usaha kerajaan negeri dan persekutuan dalam memajukan Sabah.
“Wanita GRS akan terus menjadi tulang belakang dalam memperkukuh parti dan memastikan suara wanita serta keluarga Sabah mendapat perhatian sewajarnya,” tambahnya.
Azizah yakin bahawa dengan semangat kebersamaan, kesetiaan kepada perjuangan rakyat, serta kerjasama politik yang matang, GRS akan terus menjadi wadah utama dalam memastikan Sabah maju, makmur, dan sejahtera.
































