PETALING JAYA: Polis mengesan satu akaun TikTok yang menyebarkan maklumat tidak tepat berkaitan kes kematian Zara Qairina Mahathir.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, siasatan dijalankan terhadap akaun @berjuanguntukzara kerana memuat naik kandungan tidak tepat berkaitan kes itu.
“Polis menyeru orang ramai menghentikan segera perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut kerana boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Penularan kandungan yang tidak sahih tersebut berpotensi menjejaskan kelancaran serta keberkesanan proses siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu perbuatan membuat kenyataan yang mungkin menyebabkan orang awam ketakutan atau gentar.
Kumar berkata, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Ini membabitkan kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian serta kandungan yang mempunyai kecenderungan menghasut kebencian terhadap mana-mana pihak serta boleh menyebabkan orang awam gusar dan gentar,” katanya.































