PARIS: Syarikat air mineral Perancis bernilai berbilion euro kini berada dalam perhatian awam, susulan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap perubahan iklim dan kesan industri tersebut terhadap alam sekitar.
Menurut Utusan Malaysia, isu utama yang dipersoalkan ialah sama ada jenama terkenal dunia seperti Perrier masih layak menggunakan label air mineral semula jadi.
Keputusan dalam kes Perrier dijangka diumumkan dalam beberapa bulan akan datang selepas pendedahan oleh media Perancis tentang penggunaan sistem penapisan rahsia dalam industri air mineral.
Ia dipercayai dilakukan akibat kebimbangan terhadap pencemaran air, khususnya selepas beberapa tahun kemarau yang dikaitkan dengan perubahan iklim.
“Ini benar-benar seperti krisis ‘Water-gate’ versi kami. Ia satu gabungan antara penipuan industri dan pembabitan kerajaan.
“Perrier kini menghadapi pedang Damocles tergantung di atas kepala, satu metafora bagi ancaman besar yang mungkin menjatuhkan reputasinya,” kata wartawan penyiasat Le Monde, Stéphane Mandard.
Menurut Pakar Hidrologi, Emma Haziza, model perniagaan syarikat besar air mineral berjaya secara komersial tetapi tidak mampan dalam era perubahan iklim global.
“Apabila syarikat besar berasa tiada pilihan selain menapis air mereka itu petanda jelas mereka tahu ada masalah dengan kualiti,” katanya.
Isu tersebut mula mendapat perhatian meluas di Perancis kira-kira setahun lalu, selepas siasatan bersama Le Monde dan Radio France mendedahkan, sekurang-kurangnya satu pertiga air mineral yang dijual di Perancis telah dirawat secara haram menggunakan teknologi seperti cahaya ultraungu (UV), penapis karbon dan jaring mikro ultra halus yang lazimnya digunakan untuk menapis bakteria.
Namun, isu ini bukan soal keselamatan kesihatan awam kerana air yang dirawat itu tetap selamat diminum.
Sebaliknya, masalah utama ialah peraturan Kesatuan Eropah (EU) yang menetapkan air mineral semula jadi mestilah tidak diubah langsung dari sumber bawah tanah hingga ke botol.
Ia adalah asas utama yang membezakan air mineral daripada air paip biasa dan menjadikannya dijual pada harga lebih tinggi.
“Jika jenama seperti Evian, Vichy dan Perrier diakui selama ini atas imej gunung yang bersih, aliran sungai murni dan kandungan mineral semula jadi yang menyihatkan, mengakui air itu ditapis boleh meruntuhkan keseluruhan ilusi pasaran.
“Apa sebenarnya yang kami bayar selama ini?” jelasnya.
Keadaan menjadi lebih rumit buat Perrier dan syarikat induknya, Nestle serta kerajaan Presiden, Emmanuel Macron apabila timbul tuduhan pegawai kanan syarikat dan menteri kerajaan berkonspirasi untuk menyembunyikan skandal ini.
Ia termasuk tindakan menutup laporan pencemaran air dan meminda peraturan agar Perrier boleh terus menggunakan sistem penapisan mikro.
Siasatan oleh Le Monde dan Radio Francemendakwa kerajaan menganggap industri air mineral sebagai sektor strategik, justeru memilih untuk menyembunyikan maklumat yang boleh merosakkan reputasi industri tersebut.
Sebagai reaksi terhadap skandal ini, kerajaan Perancis meminta Suruhanjaya Eropah (EC) membuat keputusan mengenai tahap penapisan mikro yang masih boleh dibenarkan untuk produk berlabel ‘air mineral semula jadi’.


































