Zara Qairina Mahathir
PETALING JAYA: Ibu Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat akan menyerahkan telefon bimbit miliknya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu melengkapkan siasatan kematian anaknya itu.
Menurut Utusan Malaysia, dua peguam, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri dalam kenyataan bersama yang mewakili Noraidah berkata, telefon bimbit itu mengandungi rakaman-rakaman perbualan audio antara anak guam mereka dengan Allahyarhamah Zara Qairina.
“Telefon tersebut akan diserahkan kepada polis petang ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di Kepayan sebagai bahan bukti penting dalam membantu melengkapkan siasatan,” katanya.
Mereka juga berharap agar tiga permintaan utama telah dimasukkan dalam arahan yang dikemukakan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) kepada PDRM iaitu penyiasatan dilakukan oleh pegawai penyiasat berpengalaman dari Bukit Aman.
Selain itu, penggalian semula kubur Allahyarhamah Zara Qairina untuk tujuan bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian dan satu prosiding inkues diadakan bagi meneliti sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian tersebut.
Mereka turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Peguam Negara yang telah mengembalikan laporan penuh siasatan awal kepada PDRM semalam.
“Laporan itu turut disertakan dengan beberapa arahan untuk dilengkapkan sebelum tindakan lanjut diambil. Ini adalah selaras dengan salah satu daripada empat permintaan yang kami kemukakan dalam surat bertarikh 5 Ogos 2025 kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, laporan siasatan awal kematian pelajar, Zara Qairina Mahathi, 13, telah diserahkan semula kepada pihak polis untuk dilengkapkan, semalam.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, sebarang keputusan sama ada untuk mendakwa sesiapa atau mengarahkan agar inkues dilakukan akan diputuskan selepas siasatan benar-benar telah dilengkapkan.
Zara Qairina, pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah di Papar, Sabah, ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah pada 4 pagi, 16 Julai lalu.
Dia disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) pada pukul 11 pagi, 17 Julai lalu dan kes kematian pelajar berkenaan tular serta menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat di media sosial.
Pada 4 Ogos lalu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail dilaporkan telah menyerahkan kertas siasatan berhubung kematian Zara Qairina yang dikaitkan dengan dakwaan buli kepada Jabatan Peguam Negara.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun turut dilaporkan telah memaklumkan kertas siasatan telah dibawa ke Bukit Aman untuk perhatian dan penelitian akhir sebelum dirujuk ke Jabatan Peguam Negara.
Jauteh turut dilaporkan berkata, seramai 60 individu termasuk tiga nama didedahkan di media sosial, iaitu ‘Kak Wana, Kak Dedeng dan ‘tomboi’ telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kematian Zara Qairina.
Menurut laporan, pegawai polis tidak menolak kemungkinan wujud unsur buli dalam kejadian tersebut dan turut menyatakan siasatan menjurus kepada dua elemen iaitu punca kepada kematian dan juga persekitaran.


































