Zara Qairina Mahathir
PUTRAJAYA: Laporan penuh siasatan awal kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir telah diserahkan semula kepada pihak polis untuk dilengkapkan.
Menurut Utusan Malaysia, Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, sebarang keputusan sama ada untuk mendakwa sesiapa atau mengarahkan agar inkues dilakukan akan diputuskan selepas siasatan benar-benar telah dilengkapkan.
“Kita telah menyerahkan semua laporan kepada pihak polis semalam. Kita sudah bagi arahan tertentu, maknanya ada beberapa perkara yang perlu kita kumpulkan (compile) semula.
“Selepas arahan yang diberikan telah disempurnakan dan siasatan benar-benar lengkap, baru kita (Jabatan Peguam Negara) akan memutuskan sama ada akan mendakwa sesiapa atau mengarahkan agar inkues dilakukan,” kata ketika ditemui media selepas tamat Majlis Meraikan Pelantikan Ketua Hakim Negara di Istana Kehakiman di sini hari ini.
Ditanya mengenai arahan untuk melengkapkan isu, Mohd. Dusuki enggan memberikan perinciannya.
“Kalau tanya saya mengenai arahan atau isu, saya tidak boleh beritahu sekarang. Ada beberapa perkara tetapi saya tidak boleh dedahkan sekarang. Tunggu sehingga siasatan selesai, baru kita akan buat kenyataan,” katanya.
Zara Qairina, pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah di Papar, Sabah, ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah pada 4 pagi, 16 Julai lalu.
Dia disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) pada pukul 11 pagi, 17 Julai lalu dan kes kematian pelajar berkenaan tular serta menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat di media sosial.
Pada 4 Ogos lalu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail dilaporkan telah menyerahkan kertas siasatan berhubung kematian Zara Qairina yang dikaitkan dengan dakwaan buli kepada AGC.


































