Dmitry Medvedev (kiri) dan Donald Trump
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengarahkan dua buah kapal selam nuklear dialih ke kawasan strategik berhampiran Russia sebagai reaksi terhadap kenyataan bekas Presiden Russia, Dmitry Medvedev yang didakwa berunsur provokasi berhubung risiko perang antara dua kuasa nuklear itu.
Menurut Utusan Malaysia, Trump berkata, tindakan itu diambil bagi menunjukkan kesiapsiagaan Washington susulan kenyataan Medvedev yang mengingatkan Moscow masih memiliki kemampuan serangan nuklear era Soviet sebagai jalan terakhir jika keadaan memuncak.
Medvedev mengeluarkan amaran itu selepas Trump menasihatinya supaya berjaga-jaga dengan kata-kata.
“Berdasarkan kenyataan yang sangat provokatif oleh Medvedev, saya sudah mengarahkan dua kapal selam nuklear untuk diletakkan di kawasan yang sewajarnya, sekiranya kenyataan bodoh dan melampau itu lebih daripada sekadar kata-kata,” kata Trump dalam satu kenyataan di media sosial.
Bagaimanapun, kenyataan Trump tidak disahkan oleh Angkatan Laut AS atau Pentagon, yang enggan mengulas berhubung lokasi dan pergerakan kapal selam kerana misi itu diklasifikasikan sebagai amat sensitif dalam kerangka pertahanan nuklear.
Menurut penganalisis keselamatan, kenyataan Trump dilihat lebih bersifat retorik berbanding tindakan ketenteraan sebenar memandangkan AS memang mempunyai kapal selam nuklear yang sentiasa berada dalam kedudukan siap sedia untuk melancarkan serangan balas terhadap Russia.
AS kini memiliki 14 buah kapal selam kelas Ohio yang boleh membawa sehingga 24 peluru berpandu balistik Trident II D5 setiap satu, dengan jarak jangkauan sejauh 7,400 kilometer (km) dan keupayaan membawa beberapa kepala peledak termonuklear.
Medvedev yang kini merupakan Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Russia sejak pencerobohan ke atas Ukraine pada 2022, menjadi antara suara paling lantang mewakili kem Kremlin dalam menentang Barat.
Walaupun sesetengah pengkritik menganggap beliau sebagai tidak bertanggungjawab, namun diplomat Barat percaya ucapannya menggambarkan nada sebenar dalam kalangan pembuat dasar tertinggi Russia.
Pertelagahan itu tercetus selepas Trump memberi tempoh 10 hari kepada Russia bermula 30 Julai untuk mencapai gencatan senjata di Ukraine atau berdepan sekatan tarif baharu.
Russia setakat ini menetapkan syaratnya sendiri untuk sebarang rundingan damai dan tidak menunjukkan sebarang tanda akan mematuhi gesaan Trump yang akan tamat pada 8 Ogos ini.
Presiden Russia, Vladimir Putin dalam kenyataan terbaharunya menyatakan pihaknya masih mengalu-alukan rundingan damai tetapi menegaskan momentum peperangan kini memihak kepada Moscow disamping tidak menyebut sebarang tarikh akhir yang diberikan oleh Trump.
































