SEOUL: Korea Selatan kini membenarkan warganegaranya menghubungi rakyat Korea Utara tanpa sekatan, jika mereka mengisytiharkannya terlebih dahulu.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Penyatuan Korea Selatan, Chung Dong-young, memaklumkan menandatangani pemansuhan garis panduan kementerian yang sebelum ini mengawal pengisytiharan hubungan dengan rakyat Korea Utara bagi menghalang hubungan awam antara kedua-dua pihak.
“Tindakan ini membenarkan hubungan menyeluruh di peringkat peribadi.
“Hubungan bebas antara rakyat akan membolehkan persefahaman bersama, dan seterusnya membuka jalan kepada kewujudan bersama,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Chung turut memaklumkan kemungkinan untuk mengubah bentuk latihan ketenteraan berskala besar Korea Selatan-Amerika Syarikat (AS), Ulchi Freedom Shield, akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (NSC) awal bulan ini.
Sebagai sebahagian daripada usaha memperbaiki hubungan dengan Korea Utara, beliau turut menyatakan hasratnya kepada Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, awal minggu ini untuk mencadangkan perubahan terhadap latihan ketenteraan bersama.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan pada Khamis, Chung turut menyuarakan keinginan untuk membuka semula Kompleks Perindustrian Kaesong yang telah ditutup pada tahun 2016, sambil memohon maaf atas keputusan kerajaan ketika itu.
Kompleks perindustrian yang terletak di bandar sempadan Kaesong di Korea Utara itu mula beroperasi pada tahun 2004 susulan sidang kemuncak bersejarah pertama antara Presiden Korea Selatan ketika itu, Kim Dae-jung dan pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-il, pada tahun 2000.
Langkah ini dilihat sebagai sebahagian daripada pendekatan diplomasi damai Seoul untuk memulihkan kembali hubungan antara kedua-dua negara jiran yang terpisah sejak Perang Korea 1950-an.
































