KOTA TINGGI: Polis mengesahkan tiada kecederaan berunsur jenayah dikesan sehingga menyebabkan kematian seorang pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Isnin lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kematian mangsa yang berumur 22 tahun itu pada pukul 5.33 petang
Katanya, siasatan awal mendapati kira-kira pukul 2.30 petang hari yang sama, mangsa tiba-tiba meracau dan hilang kawalan semasa menjalani Latihan Inokulasi Tempur di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Darat (Pulada), Ulu Tiram, dekat sini.
“Menyedari situasi tersebut, mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi oleh pegawai perubatan namun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Zon Kecemasan.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail
(HSI) untuk bedah siasat. Hasil bedah siasat mendapati tiada kecederaan berunsur jenayah dikesan dan punca kematian masih menunggu hasil siasatan makmal,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Kes itu diklasifikasikan sebagai bawah mati mengejut.
Pihaknya masih menjalankan siasatan terperinci dan menyeluruh termasuk merakam percakapan saksi-saksi dan pegawai perubatan yang terlibat bagi mengenal pasti punca sebenar insiden tersebut.
Terdahulu media melaporkan ibu mangsa, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, menuntut agar siasatan segera dijalankan susulan kematian anaknya, Syamsul Haris Shamsudin, 22, semasa menjalani latihan Palapes UTM di Pulada, Ulu Tiram kerana punca kematian yang belum jelas serta meragukan.
Ibu tunggal itu mendakwa, berdasarkan pemerhatian terhadap jenazah anaknya sewaktu bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik, HSI mendapati kecederaan teruk pada tubuhnya yang tidak selaras dengan maklumat awal bahawa kematian berpunca daripada sawan.
Menurutnya, terdapat pendarahan dalam kuantiti banyak khususnya pada hidung dan mata yang dipercayainya akibat impak hentakan kuat pada bahagian kepala selain terdapat beberapa kecederaan lain seperti lebam dan luka pada badan termasuk leher serta bahu anaknya.
































