Dr. Dzulkefly Ahmad
KUALA LUMPUR: Seramai 414 pegawai perubatan kontrak menolak tawaran lantikan tetap dan meletak jawatan dalam tempoh 2023 hingga Jun 2025.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, jumlah itu bersamaan 3.5 peratus daripada 11,901 pegawai perubatan yang ditawarkan lantikan tetap dalam tempoh tersebut.
Katanya, antara alasan utama diberikan tidak bersedia bertugas di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, minat lebih tinggi terhadap penempatan di fasiliti
kesihatan bandar serta kebimbangan mengenai kemajuan kerjaya dalam bidang kepakaran sekiranya berkhidmat di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Selain itu, faktor peribadi seperti keperluan menjaga ahli keluarga, kesihatan, logistik dan isu kewangan turut menjadi pertimbangan pegawai terbabit,” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan Dr. Mohammed Taufiq Johari (PH–Sungai Petani) berkenaan jumlah pegawai kesihatan yang meninggalkan perkhidmatan Kementerian Kesihatan (KKM) kerana tidak menerima penempatan tetap.
Dr. Dzulkefly berkata, KKM komited untuk memastikan lebih ramai pegawai perubatan kekal berkhidmat dalam sistem kesihatan awam menerusi pelbagai inisiatif dan penambahbaikan.
Antaranya, pelarasan gaji menerusi kenaikan sebanyak lapan peratus bermula 1 Disember 2024 dan tujuh peratus lagi pada 1 Januari 2026, pengisian 4,352 jawatan tetap pegawai perubatan pada 2025 serta pelantikan lateral ke Gred UD10 yang menawarkan imbuhan lebih baik berbanding Gred UD9.
Katanya, setakat ini seramai 4,006 pegawai perubatan kontrak telah ditawarkan pelantikan tetap merangkumi 92 peratus daripada sasaran yang ditetapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi 2025.
KKM turut memperluas kemudahan seperti Cuti Belajar Bergaji Penuh (CBBP) dengan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP), Program Latihan Kepakaran (PLK) dengan biasiswa KKM serta pemberian Bayaran Insentif Pra-warta (BIPPW) bermula 1 Julai 2025 kepada pegawai yang sedang menjalani tempoh pengalaman kerja diselia (SWE).
“KKM juga sedang meneroka kerjasama dengan kerajaan-kerajaan negeri bagi menawarkan insentif yang wajar kepada petugas kesihatan agar mereka terus kekal dalam perkhidmatan awam.
“Langkah ini penting bagi memastikan sistem kesihatan negara kekal berkualiti tinggi, menyeluruh dan berdaya tahan, tanpa mengabaikan kebajikan warga kerja KKM,” katanya.





























