KUALA LUMPUR: Seorang peniaga alat ganti kenderaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjual alat ganti menggunakan cap dagangan tidak sah, tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Tan Chee Meng, 44, didakwa menjual barangan alat ganti kenderaan yang menggunakan cap dagangan berdaftar secara salah pada pukul 2.30 petang, 5 November 2024 di sebuah gudang penyimpanan barangan alat ganti di Jalan Segambut Atas, dekat sini.
Antara barangan tiruan yang dijual termasuklah cecair penyejuk, minyak pelincir enjin, minyak kotak gear dan penapis penyaman udara yang ditampal dengan cap dagangan jenama lain.
Tertuduh juga pengarah syarikat bengkel membaiki kenderaan didakwa di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 102(1)(ii) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 bagi setiap barangan digunakan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Salim Wahid mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Lelaki itu diwakili peguam bela, Royston Tan merayu agar dibenarkan ikat jamin tanpa cagaran, atau sekiranya perlu, dengan jumlah lebih rendah kerana menanggung tiga anak masih belajar, kos pendidikan dan perubatan ibunya uzur, selain telah memberi kerjasama baik sepanjang siasatan.
Hakim Siti Shakirah Mohtarudin membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh untuk sebutan semula pada 3 September depan.































