Datuk Zakaria Shaaban
PETALING JAYA: Pelbagai langkah saringan diambil oleh Jabatan Imigresen Malaysia bagi menghalang individu tidak diingini masuk ke negara ini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, langkah berkenaan merupakan komitmen pihaknya bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terpelihara daripada ancaman yang dibawa oleh warga asing berisiko.
“Antaranya, permohonan eVisa di mana secara automatik mengesan sekiranya warganegara asing yang memohon eVISA tersenarai di dalam Senarai Syak Jabatan.
“Pegawai atase Imigresen yang menerima permohonan eVisa akan membuat semakan yang teliti sebelum dipertimbangkan dibuat bagi memastikan hanya warganegara asing yang layak sahaja dibenarkan untuk melakukan perjalanan ke Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia
Katanya, jika permohonan tersebut memerlukan pengesahan lanjut atau dokumen sokongan tambahan, pemohon dikehendaki untuk hadir temuduga atau memuat naik dokumen sokongan tambahan bagi menyokong permohonan eVisa tersebut.
“Mana-mana pemohon eVisa yang gagal hadir temuduga atau tidak memberi maklum balas dalam tempoh lima hari akan ditolak secara automatik oleh sistem.
“Semua proses yang dilaksanakan ini adalah bagi memastikan setiap permohonan eVISA telah dipertimbangkan dengan teliti dengan memastikan tiada kompromi terhadap aspek keselamatan negara dan kepentingan awam,” jelasnya.
Zakaria berkata, saringan keselamatan ketat turut dilakukan di pintu masuk di mana semua pelawat asing melalui pemeriksaan Imigresen termasuk semakan terhadap senarai syak dan senarai hitam dalam sistem MyIMMs serta semakan terhadap pangkalan data Interpol bagi mengenal pasti dokumen perjalanan yang hilang atau dicuri.
Jelasnya, penggunaan teknologi terkini terhadap sistem pemeriksaan di pintu masuk yang meliputi kaunter dan autogate dilengkapi teknologi pengecaman biometrik (cap jari dan pengecaman wajah) untuk meningkatkan keupayaan pengesahan identiti dan mengesan pemalsuan dokumen.
“JIM juga kini sedang membangunkan Advance Passenger Screening System (APSS) di mana sistem ini berfungsi sebagai saringan awal penumpang bagi mengenal pasti pelawat berisiko sebelum mereka tiba di Malaysia. Sistem ini dalam pembangunan dan akan dilancarkan kelak,”ujarnya.
Kata Zakaria, pegawai Imigresen juga dilatih melakukan penilaian risiko berdasarkan latar belakang perjalanan, corak pergerakan dan dokumen sokongan yang dikemukakan oleh warga asing.
“Sekiranya terdapat maklumat atau penilaian yang menunjukkan seseorang pelawat boleh mendatangkan risiko kepada keselamatan negara, tindakan Not to Land (NTL) akan dikenakan serta-merta dan individu berkenaan akan diarahkan pulang ke negara asal,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia dilaporkan menjadi sasaran ejen perisikan Israel, Mossad susulan pendirian tegas negara dalam mempertahankan Gaza dan hubungan baik dengan Iran.

































