Sebuah kenderaan terjatuh ke dalam lubang benam di kawasan jalan Tanjung Katong di Singapura.
SINGAPURA: Sebahagian jalan di Tanjong Katong ditutup untuk kerja-kerja pembaikan dan pihak berkuasa turut melakukan pemantauan tahap kestabilan tanah di lokasi sekitar berikutan insiden lubang benam yang terbentuk di kawasan itu petang kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan, penutupan jalan itu juga menyebabkan perkhidmatan bas 36 dan 48 dipesongkan serta tidak berhenti di beberapa hentian sepanjang Marine Parade, Amber Road, Mountbatten dan Tanjong Katong.
“Para pemandu dan penumpang dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal dan bersedia menghadapi sebarang kelewatan,” kata LTA dalam hantaran itu.
Beberapa penduduk yang tinggal berdekatan terutama di deretan rumah teres serta kondominium One Amber turut menyuarakan kebimbangan sama ada keselamatan kediaman dan jalan raya berhampiran terjejas akibat lubang benam yang besar itu.
Ada juga yang memberitahu Mediacorp, terdapat paip air pecah di kawasan yang sama pada malam sebelum kejadian berlaku.
Menteri Kemampanan dan Persekitaran, Grace Fu turut memaklumkan beliau sudah mengarahkan pihak berkuasa berkaitan menyiasat punca kejadian.
“Saya memahami kegusaran orang ramai, terutamanya penduduk dan para pekerja di kawasan sekitar berhubung tahap keselamatan bangunan dan jalan selepas insiden ini.
“Saya sudah meminta Agensi Air Kebangsaan (PUB) untuk bekerjasama dengan agensi lain termasuk Penguasa Bangunan dan Pembinaan (BCA) dan LTA bagi menyiasat punca kejadian secara menyeluruh serta melaksanakan kerja-kerja pembaikan secepat mungkin,” katanya.
Dalam kejadian itu, seorang wanita diselamatkan dan dihantar ke hospital selepas kereta yang dipandunya terjatuh ke dalam lubang benam yang terbentuk sekitar pukul 5 petang (waktu tempatan) Sabtu lalu.
Video tular di media sosial menunjukkan pekerja dari tapak projek berhampiran membantu wanita berkenaan keluar dari kereta serta menghalang kenderaan lain daripada menghampiri kawasan terbabit.
































