Kereta Perodua Alza yang dipandu suspek dirampas bagi siasatan lanjut.
MUKAH: Pemandu kereta yang melanggar lari sebuah motosikal di Jalan Mukah-Balingian, berhampiran simpang Kampung Penipah di sini sehingga mengakibatkan kematian seorang kanak-kanak tampil menyerah diri kepada polis, semalam.
Menurut Utuaan Malaysia, Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata lelaki tempatan berusia 31 tahun itu ditahan semasa tampil membuat laporan di Balai Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah pada pukul 2.30 petang semalam.
“Turut dirampas sebuah kereta Perodua Alza untuk dijadikan barang kes,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menjelas lanjut, beliau berkata dalam kejadian yang berlaku pada 25 Julai lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun meninggal dunia akibat dilanggar lari oleh suspek.
Mangsa yang membonceng motosikal terbabit meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Mukah kerana cedera parah di kepala.
Manakala penunggang motosikal berkenaan, remaja lelaki berusia 17 tahun cedera di muka dan kaki dalam keadaan stabil.
Muhamad Rizal berkata permohonan reman terhadap suspek telah diluluskan selama dua hari sehingga 30 Julai oleh Mahkamah Majistret Mukah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
































