Dr. Joachim (enam dari kiri) menerima cendera hati daripada Fredian Gan.
TENOM: Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menyeru semua ahli PBS Bahagian Melalap agar terus berjuang untuk memastikan kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Berucap semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PBS Bahagian Melalap kali ke-40 yang diadakan di Pusat Kebudayaan Murut Sabah di sini hari ini, beliau berkata, semua ahli PBS termasuk di peringkat akar umbi perlu bekerja keras.
“Selaku Pemangku Presiden saya akan cuba datang ke semua Bahagian untuk bertemu dan mengenali ahli-ahli semua di peringkat Bahagian dan terutama sekali menjelang pilihan rakyat negeri yang akan datang, of course kita mahu bangkitkan semangat mereka supaya kita akan membantu GRS.
“Soal peletakan calon bukan perkara utama. Siapa sahaja yang dinamakan sebagai calon, sama ada muda, lelaki atau perempuan, jika atas tiket PBS, kita mesti beri sokongan penuh, seratus peratus,” katanya.

Dr. Joachim (tengah) bersama dengan barisan kepimpinan PBS Melalap menyempurnakan upacara memotong kek dalam majlis itu.
Dr. Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri II, menegaskan bahawa walaupun PBS berharap dapat meletakkan calon di DUN Melalap, matlamat utama adalah untuk memastikan kemenangan berpihak kepada GRS.
“Belum ada perbincangan terperinci di peringkat tertinggi kepimpinan GRS berkenaan calon bagi DUN Melalap. Namun apa yang penting ialah kemenangan GRS,” ujarnya.
Katanya, Kerajaan Negeri di bawah teraju GRS perlu dikekalkan kerana terus menunjukkan komitmen yang tinggi dalam memperjuangkan hak Sabah, termasuk tuntutan kepada Kerajaan Persekutuan.
Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa dengan usaha berterusan semua ahli PBS, kemenangan akan kembali berpihak kepada GRS dalam pilihan raya akan datang.
“Kita juga amat yakin bahawa Sabah akan menjadi lebih maju dan makmur di bawah pemerintahan Kerajaan GRS,” katanya.
Dr. Joachim turut mengucapkan terima kasih kepada Ketua Bahagian, Martin Johanis dan Pengerusi pelaksana Majlis, Datuk Fredian Gan yang telah menjemputnya untuk merasmikan dan juga Pengerusi Tetap mesyuarat, Datuk Dr. Daniel Kinsik yang juga Naib Presiden merangkap Ahli Majlis Tertinggi PBS.
































