Premis HMV pernah beberapa kali dipecah masuk oleh pengumpul tegar kad Pokemon sehingga menyebabkan kerosakan dan kerugian harta benda.
LONDON: Rangkaian peruncit terkenal HMV terpaksa menarik balik penjualan kad dagangan Pokemon dari kedai fizikal dan laman webnya selepas menjadi sasaran geng jenayah yang sanggup memecah masuk dan mengejar van penghantaran semata-mata untuk mendapatkan kad yang mampu mencecah ribuan pound.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif HMV, Phil Halliday, mendedahkan kepada Mail Online bahawa permintaan luar biasa terhadap kad tersebut menjadikan ia barangan yang amat berisiko untuk dijual secara terbuka.
“Kesemua kad itu amat dikehendaki. Jadi memang ada ancaman besar terhadap kecurian,” katanya.
Cawangan utama HMV di Oxford Street, London pernah dipecah masuk oleh pencuri yang dipercayai mencari kad Pokemon edisi terhad yang boleh dijual kepada pengumpul pada harga tinggi.
“Kami pernah dipecah masuk dan percaya mereka terus menuju ke bahagian belakang kedai untuk mencari kad Pokemon,” kata Halliday.
Beliau turut berkongsi insiden di mana orang ramai mengejar van penghantaran DHL kerana menyangka ia membawa kad Pokemon.
Kini, semua kad tersebut disimpan di belakang kaunter dan pembelian dihadkan kepada empat pek setiap pelanggan.
“Kami tidak boleh letak walaupun satu pek di kedai, semuanya di belakang kaunter. Ia juga sangat mudah disorok dalam seluar jika pencuri cuba lari,” katanya.
Disebabkan ancaman bot automatik yang menyerbu laman web untuk membeli kad dalam jumlah besar secepat mungkin, HMV juga menghentikan penjualan secara dalam talian. Maklumat stok di setiap kedai turut dikeluarkan dari laman web mereka untuk mengelakkan serbuan yang tidak terkawal.
Kad Pokemon yang memaparkan raksasa kartun bertempur sesama sendiri mula popular sejak tahun 1990-an dan kekal diminati hingga kini, terutama dalam kalangan pengumpul.
Satu set kad dengan watak naga Charizard dari tahun 1999 kini dijual di eBay pada harga 25,000 pound (RM150,000), manakala YouTuber terkenal Logan Paul mencipta rekod apabila membeli kad Pikachu Illustrator pada 2022 dengan harga mencecah 3.9 juta pound (RM23 juta).
































