LONDON: Jutaan kumbang dilaporkan ‘menyerang’ bandar dan kawasan peranginan di seluruh Britain, memaksa orang ramai mencari perlindungan bagi mengelakkan serangan serangga kecil itu.
Menurut Utusan Malaysia, di destinasi pantai popular seperti Weston-Super-Mare, pengunjung berdepan fenomena luar biasa apabila jutaan kumbang menutupi hampir setiap ruang di kawasan tersebut.
Kejadian itu turut mengganggu acara sukan, apabila perlawanan kriket antara England dan India di Lord’s pada Khamis lalu, terpaksa dihentikan seketika.
Menurut pakar, ia merupakan kejadian terbesar seumpamanya sejak ‘pencerobohan kumbang’ yang berlaku pada 1976.
Saintis berkata, fenomena itu berpunca daripada cuaca panas yang melampau sejak kebelakangan ini, sama seperti musim panas ekstrem yang direkodkan hampir lima dekad lalu.
Di aplikasi video popular TikTok, beberapa pengguna berkongsi video kumpulan kumbang yang menyerbu bandar-bandar di United Kingdom (UK).
Dalam video lain pula menunjukkan ratusan kumbang merayap di atas kereta sorong bayi, kenderaan, payung dan makanan penduduk.
Pakar biologi serangan dari Universiti Bath, Prof. Stuart Reynolds berkata, fenomena serangan besar-besaran kumbang berpunca daripada beberapa faktor, tetapi cuaca panas dan kering memainkan peranan penting.
“Ia pernah berlaku sebelum ini dan akan berlaku lagi. Kumbang mungkin menggigit sedikit tetapi tidak akan mendatangkan bahaya.
“Ia bukan satu wabak. Kumbang itu comel dan kita patut meraikannya,” kata Reynolds.
Cuaca di Britain sejak beberapa minggu terakhir direkodkan panas melampau, dengan suhu tertinggi mencecah 34.7 darjah Celsius pada Jumaat lalu.
































