TAMPARULI: Pasukan Sonic Tuaran muncul juara Mobile Legends Bang Bang Tournament Mitatabang Komuniti 2025 selepas menewaskan 22 pasukan lain dalam kejohanan yang berlangsung meriah di Dewan Bawing, Tamparuli, kelmarin.
Tempat kedua dimenangi oleh No Regrets X yang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, manakala Gorodok Team menduduki tempat ketiga dan menerima RM500. Sebanyak sembilan pasukan lain menerima saguhati, termasuk Wizard Inxx x 5 Angry Men, Jaysung Esports Titans, Dewa Cakar Utara dan Oblivion Esports.
Empat pasukan lain, iaitu TLBG, 7TuruNewborn, 5 Genggam dan Sup Kosong, turut menerima saguhati masing-masing.
Kategori pemain terbaik turut diberikan kepada pemain individu cemerlang, antaranya Takezo (Best GoldLaner), Osaragi (Best Exp Laner), Zrieyy (Best Mid Laner), iss (Best Jungler), Lotus (Best Roamer) dan Gorodok Team (Best Comeback). Anugerah Final MVP (FMVP) pula dimenangi oleh iqka.
Pertandingan yang dianjurkan oleh Pertubuhan Gerak Bantu Komuniti Sabah (Mitatabang Komuniti) itu menyaksikan penyertaan daripada belia sekitar Tamparuli dan Tuaran, dengan objektif menyediakan platform interaksi sihat melalui e-sukan serta mengasah kemahiran berpasukan dan strategi dalam kalangan anak muda.
Presiden Mitatabang Komuniti, Prof. Madya Dr. Bonaventure Boniface berkata, penganjuran kejohanan tersebut sejajar dengan usaha pertubuhan untuk mendekati komuniti belia dan memperkukuh semangat kerjasama.
“Pertandingan ini bukan sekadar ruang untuk bersaing secara kompetitif, tetapi menjadi wadah anak muda membina pengalaman dan mempertingkat kemahiran komunikasi serta kerja berpasukan,” katanya.
Menurut beliau, disiplin dan semangat kesukanan tinggi yang ditunjukkan oleh para peserta sepanjang kejohanan amat membanggakan.
“Kami berharap penganjuran ini menjadi titik mula kepada lebih banyak program pembangunan belia berasaskan teknologi dan minat semasa. Tahniah kepada semua pasukan yang bertanding, khususnya kepada Sonic Tuaran atas kemenangan mereka.”
Program tersebut turut menerima sokongan dan tajaan daripada pelbagai pihak termasuk Sawit Kinabalu selaku penaja utama, Geng Tokou, Borneo Grains, serta individu perseorangan.
Turut hadir menyempurnakan majlis penyampaian hadiah ialah Datuk Dr. Omar Raisul As-Salam Syah Sulaiman Omar, Pengerusi Lembaga UMS Investment Holdings Sdn. Bhd. (UiNVEST).
Dr. Bonaventure turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja dan sukarelawan yang menjayakan penganjuran pertandingan itu serta berikrar akan meneruskan lebih banyak program seumpamanya di masa akan datang.
































