BEIJING: Ribut tropika Wipha yang sebelum ini melanda Taiwan dan Filipina, dijangka meningkat ke tahap taufan sebelum membadai pantai selatan China pada Ahad.
Menurut Utusan Malaysia, ribut itu menyebabkan gangguan serius termasuk pembatalan penerbangan dan perkhidmatan feri di Taiwan, selain turut meragut nyawa di Filipina apabila sebuah struktur papan iklan tumbang akibat angin kencang serta menghempap sebuah lori di Quezon City, utara Manila.
Agensi Berita Pusat Taiwan melaporkan, Wipha membawa angin berkelajuan maksimum 101 kilometer sejam (km/j) dengan tiupan kencang mencecah 126km/j ketika melalui bahagian selatan pulau tersebut pada Sabtu.
Di kawasan timur Taiwan, iaitu daerah Hualien dan Taitung, hujan lebat melebihi 20 sentimeter direkodkan.
Susulan cuaca buruk, beberapa penerbangan domestik dibatalkan dan 14 laluan feri dihentikan sementara waktu.
Perkhidmatan feri di wilayah Fujian, di seberang Selat Taiwan turut digantung sebagai langkah berjaga-jaga.
Wipha merupakan ribut keenam musim ini di rantau Pasifik Barat dan diramalkan akan melalui kawasan berhampiran Hong Kong pada waktu malam.
Ia dijangka membawa hujan lebat di sepanjang pantai selatan China sebelum melemah apabila bergerak ke arah barat, menuju Vietnam dan Laos.
Di Hong Kong, syarikat penerbangan Cathay Pacific memaklumkan semua penerbangan tiba dan berlepas antara pukul 5 pagi hingga 6 petang hari ini akan dibatalkan atau ditunda.
Balai Cerap Hong Kong mengeluarkan amaran angin kencang serta potensi banjir di kawasan pesisir rendah akibat peningkatan air laut.
Jambatan sepanjang 30 kilometer yang menghubungkan Hong Kong dan Macao akan ditutup sepanjang malam, menurut laporan penyiar tempatan RTHK.
Sementara itu, pihak berkuasa di wilayah Hainan, destinasi pantai terkenal di China mengumumkan tiga pelabuhan utama di ibu negeri wilayah itu, Haikou akan menangguhkan operasi bermula malam Sabtu sebagai langkah keselamatan.































