Armizan (tengah) menonton tayangan perdana Impak Maksima 2 di pawagam.
PAPAR: Daerah Papar berpotensi besar untuk muncul sebagai hub pembangunan industri kreatif di negeri ini, kata Ahli Parlimen Datuk Armizan Mohd Ali.
Meski masih di peringkat awal, beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berharap kerajaan negeri dapat mepertimbangkan daerah tersebut dijadikan pusat aktiviti bagi organisasi dan penggiat industri kreatif.
“Sebagai salah seorang pemimpin di Sabah, walaupun bukanlah terkait secara langsung dengan portfolio saya sebagai Menteri KPDN, namun saya akan berusaha untuk mengangkat syor dan cadangan bagaimana kita dapat membangunkan industri kreatif di Sabah kepada Kerajaan Negeri dan juga Kementerian Komunikasi di peringkat Persekutuan.
“Kalau boleh saya sebutkan walaupun mungkin masih peringkat awal, kita ada berbincang supaya kita dapat wujudkan hub pembangunan industri kreatif di Sabah ini.
“Cuma saya fikir kita tidak boleh bermula daripada awal, kita perlu leverage kepada kemudahan-kemudahan sedia ada. Jadi, investment peruntukan yang ada boleh kita tumpukan kepada aspek-aspek tertentu,” katanya.
Mengulas lanjut Armizan mencadangkan supaya peranan Kompleks Kebudayaan Papar diperluaskan lagi peranannya dengan menyediakan ekosistem yang lengkap kepada para penggiat seni kreatif bukan sahaja dari dalam negeri malah luar negara.
“Saya fikir Kompleks Kebudayaan itu tidak wajar dibuat hanya kompleks kebudayaan untuk orang melawat. Jadi, mungkin kita boleh jadikan kompleks itu sebagai salah satu lokasi untuk kita bekerjasama, bagaimana kita boleh leverage dengan kemudahan yang bakal ada di kompleks kebudayaan itu untuk digunakan juga untuk pembangunan industri kreatif.
“Contohnya, bila saya difahamkan terdapat juga pihak-pihak daripada luar negara yang datang membuat penggambaran di Sabah.
“Jadi, salah satu tarikan dan bukan hanya membuat penggambaran tetapi mereka boleh sekiranya ada studio yang lengkap dengan ekosistem yang lengkap maka mereka boleh gunakan kemudahan itu.
“Jadi, ia bergantung kepada kerajaan negeri tetapi saya rasa kita perlukan hub industri kreatif di Sabah dan saya ingin jika pusatnya adalah Papar. Kalau kerajaan negeri boleh mempertimbangkan Papar sebagai hub tersebut,” ujarnya kepada media sempena Majlis Pelancaran Tayangan Komersial Short Film Sabah dan Tayangan Perdana Impak Maksima 2 di sini, pada Rabu.
Selain teruja dengan pemilihan Papar sebagai lokasi tayangan perdana filem box office, Armizan turut tertarik dengan lima teras hala tuju 10Star Cinemas yang disifatkannya mampu membantu membangunkan industri kreatif di negara dan khususnya di Sabah.
“Pemilihan Papar ini saya fikir buat kali pertamanya dengan keberadaan 10Star Cinemas di Papar ini menjadikan kawasan ini sebagai salah satu kawasan tarikan dan kita melihat dengan adanya pembangunan pesat kawasan Papar boleh dapat memacu speed over kepada ekonomi masyarakat setempat.
“Saya tertarik dan teruja dengan hala tuju yang telah dibentangkan tadi oleh CEO 10star Cinemas kerana saya melihat bahawa hala tuju ini bukan hanya memperlihatkan komitmen mereka untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik terhadap co-business mereka iaitu perkhidmatan pawagam, tetapi juga agenda komuniti, agenda kemasyarakatan mereka.
“Kalau kita lihat hala tuju yang telah dibentangkan tadi dengan lima inisiatif antaranya Inisiatif Cinema Charity, Cinema Awareness, Cinema Talk, Cinema Film Distribution dan juga Cinema Short Film.
“Ini inisiatif yang saya lihat boleh membantu membangunkan industri kreatif di negara kita dan khususnya juga di Sabah ini. Kita tahu kita mempunyai tekanan di sini (Sabah) kerana ekosistem itu belum lagi lengkap berbanding dengan di Semanjung Malaysia.
“Saya melihat bahawa inisiatif-inisiatif ini boleh membantu kita untuk mengenal pasti talent sporting dan juga talent identification (TI) dan juga penyediaan platform kepada bakat-bakat tempatan yang ada di Sabah.
“Uniknya kalau kita lihat Sabah ini potensinya sebenarnya besar. Kita ada bakat-bakat yang cemerlang. Kita ada tradisi budaya yang unik dan kita juga ada sumber kazanah alam yang luar biasa.
“Potensi ini perlu digilap dengan hala tuju dengan pelan strategik dan untuk menggerakkan di peringkat awal membina hala tuju dan juga pelan strategik itu, kerajaan negeri tidak boleh bergerak sendiri. Kita perlu leverage kepada stakeholders yang ada,” jelas beliau.
Filem Impak Maksima 2 arahan Dr. Ahmad Idham bersama barisan pelakon, Eizlan Yusof sebagai Johari, Zul Huzaimy (Ray), Nelissa Nizam (Gia), Muhsin Nadzli (Rio) dan pelawak Fad Bocey memegang watak Naim budak penghantar alat ganti.
































