SEOUL: Seorang guru sekolah menengah dan seorang bapa pelajar di Korea Selatan ditahan pihak berkuasa selepas didakwa menceroboh sebuah sekolah pada waktu malam untuk mencuri kertas peperiksaan.
Menurut Utusan Malaysia, kejadian berlaku pada 4 Julai lalu pukul 1.20 pagi waktu tempatan di Andong, sebuah bandar berhampiran tenggara Seoul.
Cubaan mereka gagal apabila sistem penggera keselamatan sekolah berkenaan diaktifkan, menyebabkan tindakan mereka dihidu pihak berkuasa.
Menurut laporan Sistem Penyiaran Korea (KBS), guru terbabit kini berdepan pertuduhan menerima rasuah dan menceroboh kawasan sekolah, manakala bapa pelajar tersebut didakwa atas kesalahan menceroboh.
Seorang lagi individu, iaitu pengurus fasiliti sekolah, turut ditahan kerana didakwa bersubahat membenarkan kecurian dan pencerobohan berlaku.
Siasatan awal mendapati guru terbabit sebelum ini telah memberikan kelas tuisyen peribadi secara rahsia kepada anak lelaki suspek, walhal undang-undang Korea Selatan melarang cikgu yang masih bertugas di sekolah kerajaan untuk memberikan tuisyen berbayar kepada pelajar secara persendirian.
Pelajar berkenaan sering mendapat keputusan cemerlang di sekolahnya namun, masih belum jelas sama ada prestasi akademiknya sebelum ini ada kaitan dengan kes-kes kecurian kertas peperiksaan yang pernah berlaku sebelum ini.
Pihak polis turut mengesyaki sejumlah wang telah diberikan oleh bapa pelajar itu kepada guru tersebut dan ini bukan kali pertama mereka cuba menceroboh sekolah, lapor KBS.
Kejadian ini menambahkan lagi senarai skandal berkaitan peperiksaan di Korea Selatan, sebuah negara yang terkenal dengan sistem pendidikan yang sangat kompetitif dan penuh tekanan.
Korea Selatan sering tersenarai antara negara perindustrian yang mencatatkan tahap tekanan paling tinggi dalam kalangan remaja berusia 11 hingga 15 tahun, menjadikan skandal berkaitan peperiksaan sebagai isu yang amat sensitif dalam masyarakatnya.
































