Emmanuel Macron bersama isterinya, Brigitte tiba di 10 Downing Street semasa kunjungan ke Britain, baru-baru ini.
PARIS: Di sebalik senyuman yang sering dihadiahkan kepada orang ramai ketika menghadiri majlis bersama suaminya, Wanita Pertama Perancis, Brigitte Macron rupanya bergelut dengan pelbagai fitnah peribadi.
Menurut Utusan Malaysia, sejak lapan tahun memegang peranan sebagai wanita pertama, Brigitte sudah lali dengan sorotan media dari soal penampilan, cara berbicara, sehinggalah hubungan dengan suaminya namun kali ini, dugaan yang dihadapi Brigitte lebih parah.
Brigitte berdepan fitnah berat berhubung identiti peribadinya selepas satu dakwaan liar yang menuduh beliau sebenarnya dilahirkan sebagai lelaki.
Fitnah itu mula berlegar sejak 2021 apabila seorang blogger, Natacha Rey dan seorang wanita, Amandine Roy, mendakwa Brigitte sebenarnya dilahirkan sebagai Jean-Michel Trogneux dan sudah menjalani pembedahan pertukaran jantina sebelum berkahwin dengan Presiden Emmanuel Macron.
Tahun lalu, Mahkamah Jenayah Paris memutuskan kedua-dua wanita tersebut bersalah bagi tuduhan memfitnah dan diarahkan membayar ganti rugi berjumlah 8,000 euro (RM39,512) kepada
Brigitte namun pada Khamis lalu, Mahkamah Rayuan Paris membuat keputusan mengejutkan apabila membatalkan sabitan tersebut.
Hakim memutuskan Rey dan Roy mempunyai hak untuk membuat dakwaan itu dengan alasan kebebasan bersuara.
Peguam Brigitte memaklumkan anak guamnya amat kecewa dengan keputusan tersebut dan akan membawa kes ini ke Mahkamah Kasasi, iaitu mahkamah tertinggi Perancis.
Fitnah itu mula mendapat perhatian ramai apabila Rey menerbitkan sebuah penyelidikan dalam sebuah buletin berhaluan kananyang sering menerbitkan teori konspirasi.
Rey kemudian berkongsi dalam sebuah video berdurasi empat jam bersama Roy, dengan menunjukkan gambar keluarga Trogneux serta mendakwa seorang budak lelaki dalam gambar lama itu adalah Brigitte sebelum menjalani pembedahan tukar jantina pada 1980-an.
































