Joniston menyerahkan kunci Rumah Mesra SMJ kepada Hendary. Turut kelihatan dalam gambar ialah Bonnyface (kanan).
KIULU: Sepasang suami isteri orang kurang upaya (OKU) dari Kampung Tinompok Pukak kini dapat menjalani kehidupan dengan lebih berdikari selepas menerima Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).
Hendary @ Hendary Felik Lapik, 51, yang tidak boleh bertutur dan menggunakan kaki palsu, menerima kunci rumah baharunya daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai pada satu majlis penyerahan ringkas hari ini.
Rumah baharu Hendary yang terletak bersebelahan sawah padi, berhampiran sungai dan hanya beberapa meter dari jalan utama, dibina di atas tanah milik keluarganya, menawarkan kemudahan akses dan suasana yang tenang.
Beliau tinggal bersama isterinya yang juga mempunyai masalah pertuturan, serta dua anak perempuan mereka yang masing-masing berumur 2 dan 5 tahun.
Sebelum ini, mereka sekeluarga tinggal bersama ahli keluarga yang lain dalam satu rumah kongsi.
Menurut abangnya, Bonnyface Felik Lapik, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bolotikon, rumah baharu ini membuka lembaran baharu dalam kehidupan berdikari pasangan itu dan anak-anak mereka.
“Ini memberi mereka ruang untuk tinggal sendiri, sambil kekal dekat dengan keluarga yang boleh datang melawat dan membantu bila perlu.
“Ia akan membantu mereka mengurus kehidupan berkeluarga dengan lebih baik dan memberi ruang yang lebih selesa kepada anak-anak untuk membesar,” katanya, sambil menambah bahawa pihak keluarga turut membantu dalam memohon Rumah Mesra SMJ tersebut.
Hendary menyara keluarganya melalui pelbagai kerja kecil di kampung.
Dalam pertemuan ringkas semasa majlis penyerahan, Hendary meluahkan rasa syukur dengan menggunakan gerak isyarat, sebagai tanda terima kasih kepada wakil rakyat dan kerajaan atas bantuan yang diterima.
Beliau turut menjemput beberapa rakan OKU untuk hadir bersama, kerana mahu berkongsi detik bersejarah itu dengan mereka.
Joniston berkata, program Rumah Mesra SMJ merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperbaiki taraf hidup penduduk luar bandar, khususnya golongan berpendapatan rendah dan yang berdepan cabaran fizikal.
“Kita mahu pastikan bahawa golongan yang mempunyai keperluan berbeza, termasuk OKU, tidak tercicir. Rumah seperti ini boleh memberi impak besar kepada kehidupan seharian.
“Lebih banyak Rumah Mesra SMJ akan dibina di Kiulu kerana masih ramai keluarga kurang bernasib baik yang memerlukan kediaman yang selesa,” kata Joniston.
Setakat ini, sebanyak 120 buah rumah SMJ telah dibina di kawasan DUN Kiulu di bawah pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, sejajar dengan komitmen Kerajaan Negeri terhadap kebajikan masyarakat dan pembangunan luar bandar yang inklusif.


































