BENGALURU: Siasatan terhadap nahas pesawat Air India bulan lalu yang meragut 260 nyawa kini tertumpu kepada suis kawalan bahan api, selepas laporan awal dan rakaman kotak hitam mendedahkan kemungkinan kecuaian manusia.
Menurut Utusan Malaysia, Wall Street Journal (WSJ) semalam melaporkan, rakaman perbualan juruterbang menunjukkan kapten pesawat dipercayai mematikan suis yang mengawal aliran bahan api ke kedua-dua enjin.
Sumber terdekat siasatan dari Amerika Syarikat (AS) berkata, suis tersebut dialihkan dari kedudukan ‘run’ kepada ‘cut off’ sejurus selepas pesawat berlepas, mengakibatkan kegagalan kuasa enjin secara serentak.
Pesawat jenis Boeing 787 Dreamliner, yang dalam perjalanan dari Ahmedabad ke London, hilang kawalan tidak lama selepas berlepas dan menjunam ke tanah, menyebabkan hampir semua penumpang dan anak kapal terbunuh dalam tragedi udara paling buruk India dalam sedekad.
Namun, Reuters melaporkan belum dapat mengesahkan dapatan WSJ secara bebas.
Dalam perkembangan berkaitan, Air India giat menyiapkan laporan teknikal dalaman berkenaan pemeriksaan terhadap suis kawalan bahan api pesawat tersebut, dan setakat ini tidak menemui sebarang masalah pada sistem berkenaan.
Pihak berkuasa India melalui Direktorat Jeneral Penerbangan Awam (DGCA) mengarahkan pemeriksaan menyeluruh terhadap suis bahan api pada beberapa model pesawat Boeing, termasuk 787 dan 737.
Beberapa syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa telah memulakan pemeriksaan masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga.
Arahan serupa turut dikeluarkan oleh pihak berkuasa Korea Selatan, sehari selepas India mengambil langkah itu.


































