SEREMBAN: Polis menahan seorang wanita selepas disyaki menyerang dan mencederakan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun di sebuah kedai runcit di Mantin, di sini Selasa.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira pukul 3.28 petang pada 15 Julai lalu daripada ibu mangsa yang memaklumkan anaknya dipukul dan diugut oleh suspek.
Katanya, menurut siasatan, kejadian berlaku sekitar pukul 12.30 tengah hari ketika mangsa sedang membeli minuman di premis berkenaan.
“Suspek secara tiba-tiba menendang dan memijak mangsa di bahagian muka dan kaki serta mengeluarkan ugutan bunuh. Kejadian tersebut turut dirakam menerusi kamera litar tertutup dan disaksikan oleh seorang pelanggan yang berada di lokasi,” katanya ketika dihubungi.
Abdul Malik berkata, bertindak atas maklumat, polis menahan suspek yang berusia 30-an pada pukul 10.58 malam.
“Siasatan awal mendapati suspek merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) dan dipercayai mengalami masalah kesihatan mental. Suspek didakwa mengalami halusinasi dan mengesyaki mangsa mencuri barangan premis, walaupun tiada bukti mengesahkan dakwaan itu.
“Mangsa menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban dan didapati mengalami bengkak pada hidung serta lebam di kaki,” katanya.
Berikutan itu, katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencederakan dan melakukan ugutan jenayah. Suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban kelmarin dan direman selama empat hari bagi siasatan lanjut.
































