Dr. Joachim (tiga dari kiri) menyempurnakan pemotongan reben di Tugu Peringatan Perjanjian Persefahaman dan Saling Hormat Menghormati diantara Penduduk Kampung Tarawas dengan Para Peserta Rungkap.
RANAU: Timbalan Ketua Menteri II yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam turun padang sempena Program Pemimpin Bersama Rakyat dalam Sambutan Pesta Menuai dan merasmikan Hari Pelaksanaan Adat Kerungkapan di Kampung Tarawas, di sini pada Ahad.
Program selama dua hari itu turut melibatkan Kampung Tinaum dan Kampung Mangkapoh.

Dr. Joachim (duduk, tengah) merakamkan gambar kenangan bersama dengan penduduk Kampung Tarawas dalam Majlis Sambutan Pesta Menuai dan Hari Pelaksanaan Adat Kerungkapan.
Dr. Joachim serta semua yang hadir telah diberika taklimat oleh Ketua Daerah (OKK) Dominic Ghanie dan menjelaskan bahawa “rungkap” berasal daripada bahasa Dusun, yang membawa maksud ‘orang luar yang bukan berasal dari kampung tersebut’.
Menurut Dominic lagi, individu luar yang dikenali sebagai “orang rungkap” dibenarkan mengusahakan tanah di kampung berkenaan untuk tujuan pertanian, tertakluk kepada peraturan dan undang-undang kampung.

Dr. Joachim (dua dari kanan) bersalam dan beramah mesra dengan penduduk kampung Tarawas ketika mengadakan program bersama rakyat DUN Kundasang.
Sehubungan itu, Dr. Joachim turut merakamkan ucapan tahniah kepada para peserta rungkap yang diketuai Aliyu Zinin.
Dr. Joachim turut mengumumkan pembinaan sebuah dewan mini untuk kegunaan komuniti kampung dan kerja-kerja pembaikan jalan kampung Tarawas yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Dr. Joachim (duduk tengah) bergambar kenangan bersama penduduk Kampung Mangkapoh selepas selesai program yang diadakan di Dewan Mini Kg. Mangkapoh.
Seterusnya, program turut diserikan dengan perasmian dewan mini di Kampung Mangkapoh dan sambutan Pesta Menuai.
Dalam ucapannya, Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, program sedemikian mampu mengeratkan silaturahim dan memupuk perpaduan dalam kalangan penduduk.

Dr. Joachim (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan lampin pakai buang bayi daripada isteri Dr. Joachim, Datin Seri Panglima Linda Ewit kepada seorang ibu di Kampung Tinaum.
“Di sinilah kita dapat berkumpul dan berbincang mengenai hal ehwal kampung secara harmoni,” katanya.
Turut diadakan ialah taklimat berkenaan Program PANTAS di Kg. Tinaum yang disampaikan oleh Setiausaha Sulit kepada Dr. Joachim, Japili Sami.

Dr. Joachim (tengah, duduk) bergambar kenangan dengan penduduk Kampung Tinaum.
Antara yang hadir dalam program itu ialah Setiausaha Politik kepada Dr. Joachim, Yubidi Gompoyo; Ketua Daerah OKK Muhasip Haji Roman; Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Dounis Sani; Ketua-ketua Anak Negeri; Wakil- wakil Ketua Anak Negeri; Ketua-ketua Kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta para kakitangan UPPM DUN Kundasang.


































