PETALING JAYA: Seorang penuntut wanita cedera dikelar bekas teman lelakinya dalam kejadian di sebuah universiti swasta di Subang Jaya di sini, petang semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 6.30 petang.
Katanya, seorang lelaki warga asing berusia 21 tahun dikatakan mencederakan teman wanita berumur 20 tahun yang juga warga asing dengan menggunakan pisau.
“Siasatan mendapati mangsa mengalami kecederaan kelar di bahagian leher kiri.
“Mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan ditempatkan di zon merah untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, suspek yang juga penuntut universiti sama berjaya ditahan di lokasi, namun punca kejadian masih dalam siasatan.
Katanya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret, Shah Alam untuk permohonan reman pagi ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera dengan menggunakan senjata atau benda berbahaya,” katanya.
Wan Azlan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tampil menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Fadizah Ajamin di talian 019-8582166 atau Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100.
































