BANGKOK: Thailand sedang mempertimbangkan untuk membenarkan akses pasaran tanpa cukai bagi lebih banyak barangan dari Amerika Syarikat (AS), dalam usaha memujuk pentadbiran Donald Trump supaya mengurangkan ancaman tarif sebanyak 36 peratus ke atas eksport negara itu.
Menurut Utusan Malaysia, Thailand, yang sebelum ini mengurangkan tarif import longan dan ikan tilapia dari negara lain, mungkin menurunkan kadar cukai ke sifar bagi barangan tersebut dari AS, kata Menteri Kewangan, Pichai Chunahavajira.
Katanya, kerajaan juga mungkin meminda peraturan sedia ada untuk membenarkan kenderaan pandu kiri dari AS serta menghapuskan cukai ke atas barangan yang sudah termasuk dalam perjanjian perdagangan bebas dengan negara lain.
AS sedang mendesak agar cadangan lebih berani dipertimbangkan, kata menteri itu dalam seminar perdagangan di Bangkok, hari ini, tanpa mengulas lanjut.
Beliau berkata, kedua-dua pihak masih terlibat dalam dialog berterusan bagi mencapai perjanjian.
Pegawai Thailand optimis bahawa perjanjian dapat dimuktamadkan sebelum tarikh akhir 1 Ogos yang ditetapkan oleh Presiden AS itu.
Thailand berjanji untuk menghapuskan duti import ke atas 90 peratus barangan dari AS dan membuang pelbagai halangan bukan tarif.
Kerajaan turut menawarkan rancangan meningkatkan pembelian produk pertanian dan tenaga dari AS dalam usaha mengurangkan lebihan dagangan, yang berjumlah AS$46 bilion (RM195.7 bilion) tahun lalu.
AS merupakan destinasi eksport terbesar Thailand pada 2024, menyumbang kira-kira 18 peratus daripada jumlah penghantaran.
Eksport Thailand meningkat sekitar 15 peratus dalam lima bulan pertama tahun ini, didorong oleh lonjakan pesanan awal menjelang pelaksanaan tarif yang dijangka.
AS mengancam mengenakan tarif lebih tinggi terhadap negara yang disyaki mengalihkan barangan dari China bagi mengelak perang perdagangan.































