Poster yang dijana AI menunjukkan Donald Trump digambarkan sebagai Superman.
WASHINGTON: White House mencetuskan kontroversi apabila memuat naik imej kecerdasan buatan (AI) memaparkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dalam rupa bentuk yang jauh berbeza daripada kenyataan sebenar iaitu lebih kurus dan berotot seperti adiwira.
Menurut Utusan Malaysia, gambar yang dikongsi di akaun rasmi Rumah Putih di platform X itu disertakan kapsyen ‘Lambang harapan. Kebenaran. Keadilan. Cara Amerika. Superman Trump’.
Namun di sebalik paparan imej tersebut, kemarahan penyokong setia Trump semakin memuncak, khususnya berhubung keputusan Jabatan Kehakiman AS yang memaklumkan fail siasatan pesalah seksual Jeffrey Epstein tidak mengandungi senarai pelanggan dan tiada pendedahan.
Tindakan itu mencetuskan bantahan dalam kalangan penyokong gerakan Make America Great Again (MAGA) yang kini mula beralih arah.
Kemarahan memuncak apabila beberapa pempengaruh sayap kanan diberikan dokumen bertajuk ‘The Epstein Files: Phase 1’ dan ‘Declassified’ yang ternyata hanya mengandungi maklumat lama yang pernah didedahkan sebelum ini.
Peguam Negara AS, Pam Bondi turut menjadi sasaran kritikan selepas memberikan harapan kepada penyokong konservatif dengan membayangkan akan ada pendedahan besar mengenai kes Epstein.
Epstein dituduh menjalankan rangkaian pemerdagangan seks kanak-kanak elit, mati di dalam penjara pada 2019.


































