Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR: Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) akan terpakai sekiranya benar berlaku kebocoran dokumen minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang tersebar di media sosial.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, setakat ini beliau tidak menerima sebarang pengesahan mengenai kesahihan dokumen terbabit dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.
“Saya difahamkan terdapat laporan polis telah dibuat, namun saya tidak dapat mengesahkan sama ada dokumen yang tersebar itu sahih atau tidak.
“Sekiranya dokumen tersebut sahih dan termasuk dalam kategori rahsia, maka Akta Rahsia Rasmi 1972 akan terpakai. Jadi, kita semua perlu sentiasa berwaspada,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri program ‘You & AI Meet @ Bangsar’ di sini, hari ini.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, isu berkenaan mungkin akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri.
“Saya tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai kebocoran dokumen tersebut, tetapi kebiasaannya Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) amat prihatin terhadap perkara yang menimbulkan perhatian umum. Jadi, tidak mustahil ia akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet,” katanya.
Mengulas tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Fahmi berkata, agensi itu belum menerima sebarang aduan rasmi berkaitan kandungan yang tersebar.
“MCMC bertindak berdasarkan aduan orang ramai dan platform sendiri perlu bertanggungjawab menurunkan kandungan jika ia melanggar peraturan.
“Setakat ini, saya belum menerima sebarang maklum balas daripada pihak MCMC,” katanya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, beberapa pemimpin pembangkang mendesak kerajaan memberikan penjelasan berhubung dakwaan kebocoran minit mesyuarat JAC yang dikatakan mengandungi butiran berkaitan pelantikan tertinggi badan kehakiman negara.
































