KOTA KINABALU: Beberapa laluan utama di sekitar bandar raya ini akan ditutup secara berkala esok (12 Julai), sempena penganjuran Larian MAPPA XX 2025 Wilayah Sabah yang akan berlangsung di Stadium Likas.
Menurut kenyataan Jabatan Perdana Menteri (Institut Tadbiran Awam Negara – INTAN), penutupan jalan melibatkan satu lorong di sepanjang laluan larian sejauh 10 kilometer bermula jam 6.30 petang hingga 9.30 malam.
Antara jalan yang terlibat ialah:
Jalan Istiadat
Jalan Tun Fuad Stephens
Jalan KK Bypass
Jalan Tunku Abdul Rahman
Jalan Nenas
Jalan Tuaran
Jalan Kompleks Sukan
Acara larian dijadual bermula pada 7.30 malam dengan penyertaan warga perkhidmatan awam serta masyarakat setempat, sebagai sebahagian daripada sambutan Minggu Amanah Perkhidmatan Awam (MAPPA) tahun ini.
Pihak penganjur menasihatkan orang awam agar merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan sebarang kesulitan sepanjang tempoh penutupan jalan.
Larian MAPPA XX 2025 merupakan salah satu inisiatif bagi menggalakkan gaya hidup sihat serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan penjawat awam dan komuniti setempat.


































