Janice Tan Wan Peng
KOTA KINABALU: Dewan Perniagaan Malaysia–China (MCCC) Sabah menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Kerajaan Sabah memperkukuh dasar pengutamaan tempatan, khususnya dalam sektor Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE).
Presiden MCCC Sabah, Datuk Dexter Lau berkata, dasar tersebut yang dilaksanakan bersama PETRONAS dan pemain industri berkaitan, membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan kontrak kepada rakyat tempatan.
“Ini adalah langkah strategik untuk mengurangkan penghijrahan bakat ke luar negeri dan menjadikan pembangunan tenaga kerja tempatan sebagai agenda utama negeri,” katanya.
Timbalan Setiausaha Agung Jawatankuasa Usahawan Wanita MCCC Sabah, Janice Tan Wan Peng turut menyuarakan pandangan senada dan menyifatkan Kerajaan kini menyediakan pelbagai platform latihan kemahiran dan peluang pekerjaan yang wajar dimanfaatkan rakyat Sabah.
“Dengan memanfaatkan peluang sedia ada, memperkasa diri serta menguasai kemahiran baharu, anak tempatan mampu mengisi jawatan penting dan membuktikan ketahanan serta nilai jati diri mereka,” katanya.
Janice turut menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, yang menurutnya berani mempertahankan kepentingan Sabah secara tegas.
“Keputusan Kerajaan Negeri untuk tidak menganugerahkan projek perlombongan kontroversi kepada pihak luar adalah bukti jelas pelaksanaan dasar pengutamaan tempatan yang berprinsip,” ujarnya.
Dalam hal ini, beliau turut mencadangkan agar dasar pengutamaan tidak terhad kepada sektor minyak dan gas semata-mata, tetapi diperluaskan ke sektor lain seperti pelancongan, pertanian dan teknologi hijau.
Menurutnya, perlu ada strategi menyeluruh bagi menarik minat bakat-bakat Sabah di luar negara untuk kembali berkhidmat di negeri ini.
“Kerajaan boleh mempertimbangkan insentif seperti pengurangan cukai, bantuan penempatan semula dan program latihan semula agar mereka mudah kembali serta menyumbang kepada pembangunan negeri,” katanya.
Beliau juga menekankan kepentingan aspek kelestarian dalam pembangunan ekonomi Sabah yang berasaskan sumber alam.
“Sabah kaya dengan sumber semula jadi, tetapi kita tidak boleh abaikan kelestarian alam sekitar. MCCC Sabah komited menyokong dasar hijau Kerajaan dan membantu ahli-ahli kami meneroka inisiatif lestari,” katanya.
Janice berkata, kerjasama erat antara sektor awam dan swasta penting bagi memastikan kejayaan dasar-dasar yang diperkenalkan, sekali gus mempercepatkan transformasi ekonomi negeri.
“Sudah tiba masanya kita bina ekosistem ekonomi yang inklusif, mampan dan berdaya saing dengan rakyat Sabah sebagai teras utama,” tambahnya.


































