Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 bagi tempoh 2021 hingga 2025 telah dilaksanakan dengan jayanya, mencatat purata pencapaian 94 peratus daripada keseluruhan 467 inisiatif yang digariskan.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 366 inisiatif berjaya mencapai prestasi 100 peratus.
Beliau turut memaklumkan bahawa ekonomi Sabah terus mencatat pertumbuhan positif dari tahun 2020 hingga 2024, meningkat daripada RM77.8 bilion kepada RM84.3 bilion.
Perdagangan negeri juga kekal kukuh apabila melepasi angka RM100 bilion selama tiga tahun berturut-turut sejak 2022, dengan jumlah tertinggi RM118 bilion dicatatkan pada tahun tersebut, katanya semasa menjawab pertanyaan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (Nabawan) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Nizam berkata, dari segi pendapatan, Sabah berjaya menjana RM26.22 bilion sepanjang 2021 hingga 2024, antara lain disumbang oleh perjanjian kerjasama komersial dengan PETRONAS berasaskan prinsip “Greater Say, Greater Participation, Greater Revenue”.
Dalam sektor pertanian, pelbagai inisiatif telah dilaksana termasuk penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sabah serta peluasan kawasan tanaman padi oleh Kumpulan Sawit Kinabalu. Ladang nanas MD2 juga dibangunkan di Beaufort dan Kota Marudu, selain pembinaan enam Pusat Pengumpulan Hasil Tani (APCC) di seluruh negeri.
Bagi sektor perindustrian, sebanyak 52 pelaburan berjumlah RM17.42 bilion telah direalisasikan dari 2021 hingga 2024, manakala 420 projek pelaburan bernilai RM35.38 bilion diluluskan sepanjang tempoh itu. Suku pertama 2025 pula menyaksikan kelulusan pelaburan sebanyak RM10.9 bilion. Kerajaan turut merancang menubuhkan tiga taman perindustrian baharu di Kudat, Kota Belud/Kota Marudu dan Beaufort/Kimanis.
“Dalam sektor pelancongan, Sabah menerima 7.85 juta pelawat antara 2021 hingga 2024 dengan jumlah perbelanjaan RM16.84 bilion. Bagi tempoh Januari hingga Mei 2025 sahaja, seramai 1.44 juta pelancong direkodkan, dengan perbelanjaan berjumlah RM3.3 bilion.”
Nizam berkata, Kerajaan Negeri juga menumpukan kepada pembangunan modal insan dengan peruntukan keseluruhan RM1.33 bilion antara 2021 dan 2024. Sebanyak 14 inisiatif pendidikan baharu melibatkan perbelanjaan RM164.14 juta memberi manfaat kepada lebih 210,000 pelajar. Penubuhan Majlis TVET Sabah (MTS) turut diumumkan sebagai usaha menyelaras lebih 160 institusi latihan teknikal dan vokasional.
Untuk aspek kesejahteraan rakyat, RM1.49 bilion dibelanjakan bagi membantu lebih 336,000 penerima melalui skim seperti SBAM, SBAY dan program khas lain termasuk Rumah Mesra SMJ dan Skim Kesihatan “Sabah Sejahtera”.
Dari segi infrastruktur, beliau berkata, RM4.89 bilion diperuntukkan untuk pembangunan infrastruktur antara 2021-2024. Panjang jalan raya meningkat sebanyak 982 kilometer, menjadikan keseluruhan kepada 22,858 kilometer pada 2024. Kapasiti air terawat meningkat kepada 1,630 juta liter sehari, disokong oleh penambahan bilangan loji rawatan air kepada 90 buah.
“Sebanyak 18 projek bekalan air sedang dan akan dilaksanakan sehingga 2026, selain kadar Kehilangan Air Tidak Berhasil (NRW) dikurangkan daripada 60 kepada 52 peratus.”
Dalam sektor tenaga, sebanyak 11 projek melibatkan kapasiti 1,219 megawatt telah diluluskan Majlis Tenaga Sabah dan dijangka siap secara berperingkat sehingga 2031. Indeks SAIDI juga menunjukkan penurunan berterusan kepada 207 minit pada 2024.
Bagi kelestarian hijau, keluasan Kawasan Hutan Dilindungi Sepenuhnya (TPA) kini mencecah 2 juta hektar dan dijangka ditambah lagi 220,000 hektar menjelang 2025. Marine Protected Area pula kini meliputi 1.015 juta hektar.
“Kerajaan komited memastikan kemajuan yang inklusif, seimbang dan mampan agar manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh rakyat Sabah,” kata Nizam.


































